Geng curi barang kosmetik, pakaian kanak-kanak tumpas

Iklan
Antara barangan yang dirampas susulan tertangkapnya lima suspek di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

SUBANG JAYA - Polis menumpaskan geng curi barangan kosmetik dan pakaian kanak-kanak di pasar raya dengan tertangkapnya lima individu termasuk empat wanita dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kesemua suspek ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya hasil risikan dan maklumat.

Iklan
Iklan

"Tangkapan pertama dilakukan di Jalan Resak, Klang membabitkan seorang wanita pada 22 Disember lalu.

"Susulan itu, tiga wanita dan seorang lelaki turut diberkas di Jalan Peel, Kuala Lumpur pada Isnin," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, penahanan suspek terbabit membawa kepada rampasan antaranya sebuah kenderaan Proton Exora, 76 helai baju pelbagai jenama, 28 helai seluar, 63 pakaian kanak-kanak selain pelbagai barangan kosmetik.

"Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 13 kes di mana lapan daripadanya di Subang Jaya," ujarnya.

Iklan

Tegasnya, kesemua suspek berusia antara 33 tahun hingga 45 tahun kini direman sehingga Khamis untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, orang ramai disaran menyalurkan maklumat sebarang kes jenayah di talian 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Mohd Zainy Ahmad Nazri di talian 013-2393158.