Jangan buat spekulasi, polis masih siasat

Iklan
Muhamad Zaki (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawainya sempena Program Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen pada Khamis.

KOTA BHARU - Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan mayat seorang mekanik dalam takungan air banjir di Kampung Kubang Kacang Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes itu masih dalam siasatan dari semua sudut.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, setakat ini keputusan bedah siasat juga konsisten dengan insiden yang berlaku dan menunjukkan kematian mangsa sebagai mati mengejut.

"Jangan buat spekulasi kerana polis masih meneliti kes berkenaan dan beberapa saksi serta individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Kelantan di sini pada Khamis.

Mangsa dikatakan hilang dari rumah pada jam 2 pagi Jumaat sebelum adik-beradik lain keluar mencarinya.

Iklan

Muhamad Zaki bagaimanapun meminta rakan-rakan mangsa dan keluarga yang mempunyai maklumat mengenai kes itu tampil menyalurkannya di balai bolis terdekat.

"Setakat ini tidak timbul isu mangsa dibunuh. Memang ada insiden melibatkan sedikit pergaduhan dan ugutan tetapi kita akan menyiasat semua perkara itu," katanya.

Muhamad Zaki sebelum itu menyampaikan sijil penghargaan kepada 27 orang kakitangan di IPK termasuk anggota dan pegawai sempena perhimpunan bulanan itu.