Tidak mengaku ubah suai sistem pengurusan darjah kebesaran

Iklan
Mohd Amer Syafeeq (dua dari kiri) dan Mohd Isa (dua dari kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 29 pertuduhan mengubah suai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran dua tahun lalu.

KUANTAN - Dua bekas kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 29 pertuduhan mengubah suai kandungan laman web sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Isa Mohd Yusof, 36, berhadapan dengan 26 pertuduhan manakala Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, pula menghadapi tiga pertuduhan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Maimoonah Aid.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Isa didakwa dengan 26 pertuduhan iaitu tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 26 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Datuk dan Datuk Seri daripada Sultan Pahang sedangkan penerima tidak disenaraikan untuk menerima anugerah tersebut.

Iklan

Mohd Isa didakwa melakukan perbuatan itu antara 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 di Pejabat SUK Pahang.

Muhammad Amer Syafeeq pula didakwa dengan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut.

Iklan

Bapa kepada dua anak itu didakwa melakukan perbuatan itu pada18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021 bertempat di Pejabat SUK Pahang.

Melalui kertas pertuduhan itu juga, kedua-dua dituduh melakukan kesalahan terbabit mengetahui mereka perbuatan tersebut akan menyebabkan pengubahsuaian kandungan di dalam sistem komputer tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,00 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan denda maksimum RM150,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan seperti yang ditakrifkan dalam Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.

Sebelum itu, Abdul Ghafar menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Isa dan Muhammad Amer Syafeeq.

Sementara itu, Mohd Amer Syafeeq yang diwakili peguam bela, Noor Azmi Kasam pula meminta agar wang jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh kini tidak bekerja.

Noor Azmi menjelaskan anak guamnya kini bekerja sendiri dengan pendapatan RM500 hingga RM700 sebulan perlu menyara seorang isteri yang sedang mengandung dan seorang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan kes disebut semula pada 13 Februari tahun depan.