Penganjur Forum Malaysia dan Statut Rom undang TMJ

Iklan
Asheeq Ali (tiga dari kanan) dalam sidang media di UM, hari ini.

KUALA LUMPUR - Penganjur Forum Malaysia dan Statut Rom mengalu-alukan kehadiran Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk hadir dan mendengar forum yang berlangsung pada 27 April ini di Auditorium Tun Suffian, Universiti Malaya.

Ketua Gabungan Pembebasan Akademik Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Asheeq Ali Sethi Alivi yang merupakan penganjur bagi forum tersebut berkata, pihaknya berbesar hati sekiranya TMJ ingin turut sama hadir untuk mendengar forum yang berlangsung.

Iklan
Iklan

"TMJ sendiri sudah sangat keliru dengan isu ini, dan dia telah menambah lagi kekeliruan tentang isu Statut Rom.

"Jika beliau sendiri ingin hadir kami amat mengalu-alukan kehadirannya," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Iklan

Asheeq Ali berkata, tujuan forum tersebut yang dianjurkan bersama dengan lapan anggota gabungan tersebut kerana tiada sebarang respon atau kenyataan daripada penulis rumusan eksekutif yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja yang dibocorkan oleh kumpulan itu pada 7 April lalu.

"Kami merasakan ada keperluan yang sangat penting untuk semua yang terlibat dalam pembentangan kepada Majlis Raja-Raja ini untuk bersemuka dengan rakyat.

Iklan

"Ini kerana perkara ini berlaku di dalam istana dan rakyat tidak tahu apa yang berlaku. Oleh itu, segala spekulasi yang berlaku harus diterangkan kepada umum," katanya.

Tambahnya, antara panel yang dijemput dalam forum tersebut ialah Peguam Negara, Tommy Thomas, Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, Datuk Datuk Noor Farida Ariffin dan Lim Wei Jiet.

Dalam pada itu, Ahseeq Ali berkata, pihaknya juga telah menghantar undangan kepada keempat-empat penulis rumusan eksekutif tersebut minggu lalu, namun dua daripadanya telah menolak.

"Kami masih menunggu jawapan daripada dua orang lagi pensyarah yang terlibat iaitu Profesor Datuk Dr. Rahmat Mohamad dan Hisham Hanapi," katanya.