Polis Kelantan pantau situasi banjir di Thailand

Iklan
Polis Kelantan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa mengenai situasi semasa banjir di Thailand bagi menghadapi gelombang ketiga banjir di negeri itu. - Gambar hiasan

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa mengenai situasi semasa banjir di negara jiran, Thailand bagi menghadapi gelombang ketiga banjir di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya turut mendapatkan maklumat berkaitan banjir daripada agensi berkaitan khususnya di kawasan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

Iklan
Iklan

"Kami mendapat maklumat dan ramalan berlaku (gelombang ketiga) awal bulan depan. Oleh itu, kami akan pantau keadaan banjir di Thailand kerana banjir baru-baru ini turut melibatkan kawasan Hatyai dan pekan Sungai Golok.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, empat balai polis, lapan pondok Pasukan Gerakan Am (PGA) terjejas akibat banjir yang melanda negeri itu sejak 18 Disember lepas.

"Kami telah membuat penelitian terhadap kerosakan yang perlu dibaiki dan kos sebelum dihantar kepada Bukit Aman.

Iklan

"Alhamdulillah, banjir di Kelantan setakat ini semakin pulih, hanya satu sahaja pusat pemindahan sementara masih dibuka iaitu di Pasir Mas," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan mayat seorang mekanik dalam takungan air banjir di Kubang Kacang Sabtu lepas.

"Keputusan bedah siasat sebelum ini konsisten dengan kemalangan yang berlaku dan kematian mangsa sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama