Najis tikus, lipas ditemui di premis makanan

Iklan
Keadaan salah sebuah premis yang kotor semasa pemeriksaan menerusi Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam baru-baru ini.

KUALA SELANGOR - Sebanyak lapan premis makanan diarahkan tutup berikutan tahap kebersihan tidak memuaskan termasuk penemuan najis tikus dan lipas dalam Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam yang dijalankan baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, pemeriksaan itu dijalankan Jabatan Kesihatan Persekitaran.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua premis terbabit diarahkan ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"MPKS mengarahkan pemilik premis melakukan pembersihan segera secara menyeluruh sebelum dibenarkan beroperasi semula," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Rahilah memberitahu, pemeriksaan mengejut yang dijalankan MPKS bertujuan memastikan premis makanan berada dalam keadaan bersih dan selamat untuk dikunjungi pelanggan.

Justeru katanya, pemeriksaan dan operasi seperti itu akan diperluaskan lagi untuk tahun seterusnya bagi mengekalkan tahap kebersihan yang baik terhadap pengusaha–pengusaha premis makanan.

Iklan

Dalam pada itu, Rahilah berkata, Operasi Tomyam dan Premis Makanan Waktu Malam itu dijalankan mulai Mei hingga Oktober lalu dengan menyasarkan semua premis makanan di daerah ini.

Beliau berkata, sebanyak 77 premis makanan diperiksa dan hasilnya sebanyak 162 kompaun dan 18 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

"Kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan (MDKS) 2007, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MDKS) 2007 di bawah bidang kuasa MPKS.

"Manakala Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM)," ujar beliau.