Tak wajar lihat pemberian ubat PrEP hanya dari sudut negatif

Iklan
Dr Anita Suleiman

SHAH ALAM - Masyarakat tidak sewajarnya memandang negatif terhadap pemberian ubat PrEP (Pre-Exposure prophylaxis) seperti dakwaan ia menyumbang kepada peningkatan jumlah pengamal seks songsang dalam kalangan penggunanya.

Sebaliknya Ketua Sektor HIV/ Bahagian Kawalan (Penyakit) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman berkata, ia perlu dilihat dalam sudut positif lain seperti berupaya menjadi ‘jalan pulang’ kepada mereka yang terlibat dengan gejala tersebut.

Iklan
Iklan

"Kita terlalu menggambarkan ia sebagai satu perkara yang negatif yang mana ia dapat meningkatkan amalan songsang dalam kalangan penggunanya.

"Cuba lihat dengan pandangan positif, dengan asbab adanya ubat PrEP ini, mereka datang kepada kita, bukankah ia dapat menjadi satu platform untuk kita bantu mereka mencegah atau mengurangkan risiko daripada terkena sebarang jangkitan secara berperingkat.

Iklan

"Ia akhirnya akan mewujudkan satu perubahan atau ‘jalan pulang’ buat mereka daripada gejala itu,” katanya dalam Program Wacana Sinar bertajuk PrEP: Tanggungjawab, pencegahan penyakit HIV yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.

Turut bergandingan sebagai panelis adalah Profesor Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Rafidah Hanim; Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Setiausaha Akademi Fiqh Islam Malaysia (AFHAM), Profesor Dr Irwan Mohd Subri.

Iklan

Sementara itu, Anita menambah, KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak agensi terutama jabatan agama berhubung maklumat dan penerangan berkaitan jangkitan HIV.

"Sebelum ini, kita juga ada perbincangan dengan pejabat mufti dan juga agamawan lain, sehingga membawa kepada kesimpulan hukum harus untuk kita menyediakan perkhidmatan tambahan menambah ubat PrEP demi menjaga kelangsungan ummah,” jelasnya.