IPOH - Kerajaan negeri akan meneliti semula kelayakan peserta projek berkelompok Perikanan Bandar yang dilaksanakan di daerah Kinta dan Kampar.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, projek Perikanan Bandar itu dilaksanakan bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah individu berpendapatan RM4,000 ke bawah selain menampung keperluan sumber makanan berasaskan ikan air tawar.
"Sebanyak 11 kawasan yang dikenal pasti sesuai melibatkan 16 kolam lombong tinggal bagi pelaksanaan projek itu dengan keluasan 109 hektar," katanya ketika sesi penggulungan Bajet Negeri Perak 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri turut memandang serius penggunaan alatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan dan dilarang bagi memastikan kelestarian sumber perikanan di negeri ini.
Jelasnya, perkara itu menyalahi dan melanggar Akta Perikanan 1985 dan Kaedah kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992.
Menurutnya, pada tahun 2022, sebanyak 1,048 alatan yang tidak dilesenkan telah dirampas dan dilupuskan oleh pihak berkuasa sebagai salah satu usaha untuk membendung masalah ini," katanya.
"Antara usaha yang telah dilakukan oleh Pejabat Perikanan Negeri Perak ialah dengan membuat pemantauan dan pengawasan di kawasan perairan negeri Perak secara berkala dan berjadual.
"Individu yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya," katanya.