ALOR SETAR - UMNO perlu mengetepikan segala perbezaan sentimen, sejarah lampau selain bersatu hati untuk membolehkan parti itu kembali menjadi pilihan utama.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, semua pihak hendaklah bermuafakat bagi memastikan strategi yang diambil berkesan untuk UMNO kembali memenangi hati rakyat.
Menurutnya, antara inisiatif adalah dengan menganjurkan siri Jelajah Bina Semula UMNO Kedah, bermula Jumaat (23 Disember) hingga 7 Januari depan.
"Penerangan UMNO Kedah mengadakan sesi perjumpaan bersama jentera dan ahli parti di semua peringkat bahagian sebagai langkah memperkukuhkan proses membina dan memperkasakan semula keyakinan serta gerak kerja parti,” katanya di sini pada Rabu.
Shaiful Hazizy berkata, UMNO tidak boleh terlalu lama meratapi kekalahan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebaliknya harus segera merangka dan menyusun strategi untuk membina semula kekuatan parti itu.
"Walaupun UMNO kini sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara, realitinya UMNO masih perlu melalui proses untuk memahami, menerima dan menginsafi kekalahan dan prestasi buruk PRU15 lalu,” katanya lagi.
Jelasnya, UMNO perlu kekal sebagai sebuah parti teras dalam politik negara dan perlu terus diperkasakan bagi membolehkan parti itu dapat memainkan peranan menyuburkan amalan demokrasi.
"Dengan mengambil kira pendapat dan saranan semua pihak serta keadaan terkini lanskap politik negara, saya percaya Jelajah Bina Semula UMNO Kedah akan menjadi platform terbaik untuk kepimpinan parti berkongsi maklumat dengan akar umbi selain menjadi medan untuk ahli menyuarakan pandangan secara timbal balas,” ujarnya.
Shaiful Hazizy juga mahu UMNO bingkas bangkit dan kembali kepada ‘mode’ gerak kerja dengan merancang hala tuju seterusnya, iaitu untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilaksanakan pada tahun depan.