Hubungan AS-Malaysia terus kukuh bawah kerajaan baharu: Duta AS

Iklan
Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Kamala Shirin Lakhdhir - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus kukuh dalam pelbagai bidang kerjasama di bawah kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Duta Besar AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir, berkata jalinan erat itu telah wujud bertahun lamanya dan kedua-dua pihak meneruskan hubungan melalui kerjasama kerajaan dengan kerajaan dan rakyat dengan rakyat.

Iklan
Iklan

"Matlamat kami selepas (pilihan raya umum 9 Mei 2018) dan pada hari ini ialah untuk bekerja dengan kerajaan baharu di samping mengukuhkan hubungan sedia ada.

"Kita telah bekerjasama dalam banyak bidang dan akan meneruskannya. Pihak kami telah berbincang dengan kerajaan baharu jika terdapat bidang kerjasama yang menjadi keutamaan dan AS akan beri tumpuan kepada bidang itu." katanya.

Iklan

Kamala berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hubungan AS-Malaysia di bawah kerajaan PH, sempena setahun pentadbiran kerajaan baharu selepas memperolehi kemenangan dalam PRU14 pada 9 Mei tahun lalu sekaligus menumbangkan pemerintahan parti BN selama 61 tahun.

Kamala, yang memulakan tugas pada Januari 2017 turut menyaksikan peralihan kuasa politik secara aman dan AS menghormati pilihan dibuat rakyat Malaysia.

Iklan

"Saya berada di sini sepanjang pilihan raya berlangsung dan melihat keadaan sebelum, ketika dan selepas pilihan raya serta peralihan kuasa. Kami hormati keputusan rakyat Malaysia yang memilih kerajaan baharu," katanya.

Katanya, di bawah kerajaan baharu menyaksikan beberapa lawatan peringkat tinggi diadakan oleh kedua-dua pihak antaranya lawatan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo pada 2 Ogos.

Semasa lawatan dua hari itu, Pompeo turut melakukan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir dan mengucapkan tahniah di atas kemenangan PH pada pilihan raya umum lalu.

"Selain itu, kita juga mempunyai kerjasama peringkat tinggi di AS. Sebenarnya, beberapa menteri akan ke Amerika bulan ini. Sebelum ini Menteri Pertahanan James N. Mattis dengan Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu pernah bertemu pada September 2018.

"Saya berharap kerjasama akan berterusan," kata Kamala.

AS telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada 1957 selepas memperoleh kemerdekaan dari British. Pada April 2014, Washington dan Kuala Lumpur meningkatkan hubungan dua hala menerusi Perkongsian Komprehensif.- Bernama