Kerajaan pertimbang buka semula LRA Ayer Ganda

Iklan
Ahmad Faizal (kanan) menyapa anggota Unit 69 Komando yang terlibat mengadakan persembahan payung terjun.

IPOH - Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang mempertimbangkan cadangan untuk membuka semula Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda di Gerik yang ditutup, 9 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, langkah itu dibuat berikutan aduan diterima daripada penduduk yang berpandangan bekalan air dari loji terbabit masih boleh digunakan bagi tujuan lain seperti mandi dan membasuh.

Iklan
Iklan

"Saya bersetuju dengan pandangan itu dan saya sendiri pun sudah berbincang dengan Menteri, Dr A Xavier Jayakumar mengenai perkara ini.

"Apa yang boleh dikatakan, ianya sedang dipertimbangkan di peringkat SPAN dan kementerian," katanya kepada pemberita, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, langkah menghentikan operasi loji itu dilakukan kerana akur dengan arahan dikeluarkan SPAN.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh itu, kerajaan negeri menerusi Lembaga Air Perak (LAP) membekalkan air terawat kepada penduduk.

"Walaupun air terawat ini sedaya upaya kita bekalkan, tetapi dalam masa sama kita juga berpandangan bekalan dari loji itu masih boleh digunakan untuk keperluan lain seperti membasuh dan sebagainya," katanya.

Iklan

SPAN sebelum ini mengeluarkan arahan agar LRA Ayer Ganda ditutup selepas terjejas dengan pencemaran arsenik yang mula dikesan Kementerian Kesihatan pada 8 Januari lalu.

Hasil ujian ke atas sampel air di loji terbabit menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan dibawah piawaian ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui pada sidang media Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis.

Program julung kali diadakan anjuran Pasukan 69 Komando dengan kerjasama kerajaan Perak itu berlangsung pada 22 Oktober hingga 2 November depan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah.

Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusoff berkata, kejohanan bakal mengumpulkan lebih 300 peserta dari pelbagai pasukan termasuk luar negara antaranya Bahrain, Australia, Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Menurutnya, selain dua pesawat terbang dan satu helikopter milik polis digunakan untuk kejohanan itu, pihaknya turut mendapat kerjasama unit udara bomba dalam menyediakan pesawat berupa helikopter.

"Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu accuracy, formation dan canopy formation di mana setiap pasukan akan mempamerkan kehebatan dan kepakaran mereka dari aspek ketepatan, kepantasan dan koordinasi," katanya.