KUALA LUMPUR - Seorang bapa tidak menyangka tingkah laku anak tunggalnya yang bersunguh-sungguh berpesan supaya beliau menjaga diri sebelum pergi berkhemah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, dekat sini, pada 13 Disember lalu, merupakan detik terakhir mereka bersama.
Bagi peniaga ubat, Tong Chee Kong, 44, sehingga saat ini masih tergiang-ngiang kata-kata terakhir mendiang anak lelakinya,Tong Kai En, 9, yang pergi berkhemah di kawasan itu bersama rombongan sekolah sebelum terkorban dalam tragedi pada 16 Disember lalu.
"(Sebelum pergi) anak sempat memeluk dan memberitahu, saya akan tinggal seorang diri di rumah selepas ini, jadi saya kena jaga diri sendiri memandangkan dia dan emaknya hendak pergi berkhemah.
"Dia kemudian bersalam dan memeluk saya sekali lagi sebelum berkali-kali berpesan supaya menjaga diri. Selepas itu tiada lagi komunikasi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Dato’ Senu, di sini, hari ini.
Beliau sebelum itu menerima kunjungan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, dengan diiringi Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran yang menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian sebanyak RM20,000.
Menceritakannya lebih lanjut, Chee Kong berkata hanya mengetahui kejadian itu apabila dihubungi oleh ibu mentua kira-kira jam 10 pagi yang bertanyakan sama ada anak dan isterinya telah pulang dari tapak khemah berkenaan selepas melihat berita kejadian tanah runtuh yang disiarkan oleh sebuah stesen televisyen.
Chee Kong, yang ketika itu berada di tempat kerja, kemudian segera menghubungi balai polis berdekatan untuk mengetahui sama ada anak dan isterinya, Lai Lee Koon, 44, terlibat, namun gagal mendapat sebarang pengesahan kerana polis belum mendapat maklumat penuh.
Selepas seharian menunggu, katanya, beliau kemudian nekad mengambil keputusan untuk pergi ke Hospital Sungai Buloh pada malam kejadian dengan harapan akan menemui mereka dalam keadaan selamat, namun dunianya bagaikan gelap seketika apabila dimaklumkan anak dan isterinya merupakan antara terkorban dalam tragedi itu.
Sementara itu, ibu Nurul Azwani Kamaruzaman, 31, iaitu Siti Esah Hassan, 53, menyifatkan anaknya sebagai seorang yang periang dan peramah menyebabkannya disenangi bukan sahaja oleh kaum keluarga tetapi juga dalam kalangan kenalannya.
"Sehingga kini saya masih teringat-ingat saat bersama arwah kerana beliau seorang anak yang baik dan sering mengambil berat tentang keluarga,” katanya yang turut menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kematian sebanyak RM10,000 selepas dikunjungi oleh Armizan di rumahnya di Kampung Batu, di sini.
Sementara itu Armizan, dalam satu kenyataan. memaklumkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyalurkan peruntukan segera sebanyak RM480,000 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Ia bagi membolehkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kerja-kerja penyiasatan tapak cerun runtuh di laluan B66 seksyen 14.0 Jalan Batang Kali - Genting Highlands, Hulu Selangor, dekat sini.
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada jam 2.42 pagi, 16 Disember lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu. - Bernama