BANGKOK - Tiga lagi mayat kelasi yang hilang berjaya ditemukan pada Rabu sekali gus menjadikan angka korban tragedi kapal perang Thailand karam di Teluk Thailand mencecah 24 nyawa.
Jurucakap Tentera Laut Pogkrong Montradpalin berkata setakat 5 petang (waktu tempatan) Rabu, pasukan penyelamat telah menemukan 24 mayat kelasi yang hilang.
Iklan
Iklan
"Pencarian diteruskan bagi mengesan lima orang lagi,” katanya.
Kesemua mayat mangsa yang dijumpai hari ini akan menjalani proses bedah siasat serta pengecaman bagi mengesahkan identiti mereka.
Sebelum ini, pasukan penyelamat menemukan satu mayat kelasi yang hilang di pantai Koh Samet di wilayah Chumphon pada 8.20 pagi (waktu tempatan) Rabu.
Pada 18 Disember, HTMS Sukhothai yang membawa 105 kelasi mengalami kerosakan enjin dan karam kira-kira 20 batu nautika dari wilayah Prachuap Khiri Khan pada 11.30 malam (waktu tempatan).
Operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran dilancarkan dan seramai 76 kelasi berjaya diselamatkan setakat ini. - Bernama