Kisah orang biasa yang luar biasa

Iklan
Azwan, Muhammad Zulfikal dan Mohd Anuar.

MEMBACA kisah kejayaan pasukan keselamatan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) yang berjaya menemui kesemua 31 mangsa tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor menimbulkan rasa terharu dan bangga di hati penulis.

Keberanian dan keikhlasan mereka menjalankan tugas patut diberi pujian dan penghargaan. Mereka berusaha tanpa kenal erti lelah demi memenuhi pengharapan keluarga mangsa dan rakyat Malaysia.

Iklan
Iklan

Mereka ini hanya orang biasa namun gah dalam uniform masing-masing. Tabik dan terima kasih kepada semua anggota dan pegawai yang terlibat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bantuan dan Penyelamat Khas Malaysia (SMART).

Bercerita tentang orang biasa yang luar biasa ini, nama Muhammad Zulfikal Asmadi terlintas di fikiran penulis. Remaja berusia 14 tahun itu nekad menongkah arus deras dan ombak besar demi menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak yang hampir lemas di Pantai Penunjuk, Kijal, Terengganu pada 16 Disember lalu.

Iklan

"Sebaik tahu ada mangsa lemas, saya dan penduduk bergegas ke pantai. Dari jauh saya nampak budak perempuan itu tenggelam timbul beberapa kali.

"Dalam situasi cemas itu saya fikir satu sahaja iaitu ingin menyelamatkan nyawa dia,” katanya.

Iklan

Rakaman video Muhammad Zulfikal cuba menyelamatkan nyawa kanak-kanak tersebut tular di media sosial. Tindakannya mendapat pelbagai reaksi positif warganet yang memuji keberaniannya.

Remaja hebat ini menerima sijil penghargaan Hero Bomba yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid baru-baru ini.

Kisah seorang pengantin baharu yang sedang merakam gambar perkahwinannya di tebing Sungai Anak Bukit di Alor Setar menyelamatkan kanak-kanak kurang upaya yang lemas selepas terjatuh ke sungai itu pada 14 Mac lalu turut tular di laman TikTok dan Facebook.

"Nyawa kanak-kanak itu lebih penting dan saya terjun ke dalam sungai kerana dia hampir tenggelam,” kata Mohd Anuar Ahmad, 33.

Mohd Anuar turut menerima sijil penghargaan Hero Bomba yang disampaikan oleh Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon.

Curi tumpuan

Seorang lagi orang biasa yang luar biasa dan menjadi inspirasi ialah wira banjir negara iaitu Abang Viva. Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, 30, mula mencuri tumpuan ramai kerana usaha murninya membantu mangsa banjir bermula di Puchong disusuli Taman Sri Muda, Shah Alam di Selangor dan Temerloh, Pahang.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bergerak solo memandu Perodua Viva dengan membawa bot getah yang diletakkan di atas bumbung keretanya, menuju lokasi banjir berbekal wang RM50 diberikan oleh ibunya.

RM20 bagi mengisi minyak bot dan baki RM30 untuk makanan buat mengalas perut.

"Sebenarnya saya belum pernah menyelamatkan mana-mana mangsa banjir sebelum ini. Ia datang secara spontan apabila mak dan ayah minta saya tolong kakak kedua, Fauziah yang tinggal di Puchong kerana rumahnya dinaiki air.

"Saya tidak berlengah dan membawa bot getah diikat di atas bumbung kereta bersama enjin bot lapan kuasa kuda jenis Mercury,” katanya pada temu bual bersama sebuah portal berita pada 8 Januari lalu.

Wira banjir ini sekali lagi turun membantu mangsa banjir di negeri Pantai Timur dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton, baru-baru ini.

Hero tidak didendang bagi penulis secara peribadi ialah penderma darah. Jasa dan sumbangan mereka begitu besar dalam aspek cakna insan. Sebagai salah seorang penerima darah, penulis terhutang budi dengan mereka.

Kisah Liew Chin Yap, 61, dikongsikan dalam laporan berita Sinar Premium pada 11 Mei lalu. Lelaki budiman yang difahamkan mula menjadi penderma sejak 1992 itu diiktiraf sebagai Penderma Darah Aferesis Terbanyak oleh The Malaysian Book of Records.

Menerusi kenyataan oleh Pusat Darah Negara, sehingga 18 April lalu, Chin Yap sudah menderma darah sebanyak 632 kali dalam tempoh tiga dekad.

Sebenarnya ramai yang berhati emas dalam kalangan kita. Sedar atau tidak sedar, langsung atau tidak langsung, sesungguhnya anda adalah hero kepada seseorang kerana penulis pasti jika tiba kesempatannya, anda juga sanggup bertindak luar biasa.

*Puperhaizad Darsono ialah penyunting di Sinar Harian.