Mohd Sharkar dilantik Speaker DUN Pahang

Iklan
Mohd Sharkar (kiri) dan Chin Chen.

Iklan
Iklan

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu bagi menggantikan Datuk Seri Ishak Muhammad.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengusulkan Mohd Sharkar dipilih dan disokong Exco Pertanian, Industri Asas Tani,Bioteknologi Dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.

Iklan

ADUN Bilut, Lee Chin Chen pula dilantik Timbalan Yang Dipertua baharu bagi menggantikan bekas ADUN Jenderak, Datuk Seri Muhamed Jaafar.

Mohd Sharkar dalam ucapan penangguhan persidangan pertama berkata, pembentukan kerajaan campuran dibentuk melalui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas tiada parti yang menang dengan majoriti yang mudah.

Iklan

Beliau percaya gabungan ini dibuat atas dasar keselesaan sekali gus menghentikan sentimen politik, ideologi, kestabilan serta kemakmuran negeri.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar meminta agar semua rakyat dipilih rakyat khususnya pembangkang dapat menjadi pembangkang yang berhemah supaya semak dan imbang dapat diterjemahkan.

Sebelum itu, Wan Rosdy memaklumkan Mohd Sharkar mampu menggalas tanggungjawab dan menguruskan perjalanan DUN dengan baik dan penuh dedikasi seperti mana yang dilakukan Speaker DUN pada penggal sebelum ini.

Beliau juga yakin Chin Chen berupaya melaksanakan tugas sebagai Timbalan Speaker dengan baik dan cemerlang.

Sehubungan itu, Wan Rosdy merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ishak dan Muhamed atas segala jasa dan sumbangan besar menguruskan perjalanan DUN dengan penuh bijaksana, adil dan saksama.

"Sesungguhnya jasa Ishak dan Muhamed akan sentiasa dikenang dan dijadikan tauladan kepada kita semua. Insya-ALLAH," kata beliau dalam persidangan itu.

Sementara itu Sharkar berkata, beliau akan pastikan semak dan imbang dalam persidangan DUN penggal ke-15 akan dilaksanakan sebaiknya.

Beliau berjanji akan melaksanakan tugasnya dengan penuh tanggungjawab dan saksama dalam memastikan kelancaran perjalanan sidang DUN.

"Saya akan melaksanakan tugas ini dengan sebaik mungkin dan berusaha sedaya upaya bagi memastikan elemen semak dan imbang berjalan baik.

"Kita memerlukan kerajaan yang mampu membangunkan negeri dan dalam masa sama kita perlukan pihak pembangkang yang baik sekali gus memastikan rakyat menerima manfaatnya," katanya.