NASIB berbeza dua pemain sensasi Paris Saint-Germain (PSG).
Penyerang Perancis, Kylian Mbappe menyempurnakan sepakan penalti dalam masa kecederaan untuk kemenangan 2-1 PSG ke atas Strasbourg.
Neymar pula dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.
Mbappe mengakui dia cuba melupakan drama duka di final Piala Dunia biarpun dia meledak hatrik tetapi tewas pada penentuan penalti kepada Argentina.
Neymar pula dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana cuba mendapatkan penalti dengan simulasi yang dapat dihidu pengadil.
Kapten Marquinhos meletakkan PSG di depan menerusi tandukan tetapi pertahanan Brazil itu menjaringkan gol sendiri pada minit ke-51 untuk Strasbourg menyamakan kedudukan.
Neymar yang masih diselubungi kekecewaan tersingkir di suku akhir Piala Dunia bersama Brazil, menerima kad kuning pertama kerana mengasari pemain Strasbourg.
Dia kemudian dilayangkan kad kuning kedua serta diarah keluar padang selepas merebahkan diri untuk mendapatkan penalti.
Bagaimanapun Mbappe berjaya mendapatkan penalti dalam masa kecederaan dan menyempurnakannya untuk gol kemenangan pada minit ke-96.
"Saya rasa tidak akan dapat melupakannya (Piala Dunia).
"Namun saya katakan kepada rakan sepasukan, tidak ada sebab mengapa kelab perlu menerima akibat di atas kegagalan pasukan kebangsaan. Ia dua situasi berbeza," ujar Mbappe.
Bintang Argentina, Lionel Messi masih belum kembali bersama pasukan selepas kejayaan di Piala Dunia.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan PSG dalam carta Ligue 1 dengan 44 mata, lapan mata di depan Lens.