KUANTAN - Seramai 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang mengangkat sumpah jawatan sebelum bermulanya penggal baharu persidangan DUN di Wisma Sri Pahang pada Khamis.
Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang baharu dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Ishak Muhammad.
Majlis angkat sumpah itu dimulai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga ADUN Jelai, diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta ADUN lain.
Pemilihan Mohd Shahkar dikemukakan oleh Wan Rosdy dan disokong oleh Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak.
Majlis angkat sumpah diteruskan dengan ADUN Bilut, Lee Chin Chen yang dipilih sebagai Timbalan Speaker DUN bagi menggantikan bekas ADUN Jenderak, Datuk Seri Muhamed Jaafar.
Nama beliau dicadangkan oleh Wan Rosdy dan disokong Mohd Soffi.
Dalam ucapan penangguhan persidangan itu, Wan Rosdy berkata, semua wakil rakyat kini dapat menjalankan tugas dan amanah secara rasminya bagi mewakilkan kawasan DUN masing-masing selepas selesai angkat sumpah ADUN.
Menurut beliau, sudah pastinya tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat cukup penting serta menuntut pengorbanan yang besar terutama dalam memastikan kebajikan setiap rakyat sentiasa terjaga.
"Namun, dalam soal ini, saya ingin mengingatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat sama ada dari blok kerajaan mahupun pembangkang agar sentiasa berhemah ketika mengemukakan hujah, saling hormat-menghormati dan tidak bertindak keterlaluan sehingga mengguris perasaan mana-mana pihak.
"Sekarang adalah masa untuk berkhidmat kepada rakyat serta menunaikan janji serta komitmen yang telah kita zahirkan ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu," katanya.
Beliau berkata, Pahang perlu dibangunkan atas asas kestabilan politik yang kukuh agar pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan tersusun dan sektor ekonomi negeri dipacu ke arah lebih baik.
"Bagi blok pembangkang pula, saya pinta Ahli-Ahli Yang Berhormat agar dapat menjalankan fungsi semak dan imbang dengan sebaiknya demi memastikan negeri ini terus kekal maju dan berdaya saing," katanya.
Pada PRU15, Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi daripada 42 kerusi DUN dipertandingkan iaitu jumlah yang sama dengan Perikatan Nasional (PN) dan lapan kerusi Pakatan Harapan (PH).
BN dan PH kini bergabung membentuk kerajaan perpaduan di mana lapan ADUN BN dan dua ADUN PH dilantik sebagai Exco Pahang.