SEPANG - Seorang penumpang warga Myanmar cedera apabila bas dinaiki mangsa melanggar tembok sebuah surau ketika menuruni bukit dalam kejadian di Jalan Sungai Merab menuju Jalan Air Hitam Luar di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.20 petang.
"Siasatan mendapati bas yang dipandu lelaki berumur 34 tahun itu membawa 12 penumpang yang diambil dari Hostel Sungai Merab menuju ke Kilang Sony di Bangi.
"Brek bas tersebut dipercayai tidak berfungsi ketika menuruni kawasan berbukit di lokasi kejadian mengakibatkan bas tersebut terbabas lalu melanggar tembok sebuah surau," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, penumpang yang cedera dalam kejadian dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kajang.
"Polis telah merakam percakapan pemandu dan semua penumpang yang terlibat dalam kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.