SHAH ALAM - Seorang lelaki yang videonya tular menyamar sebagai wanita dengan memakai telekung di masjid, mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencuri dua telefon bimbit, di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Jurujual, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.
Memandangkan tertuduh merupakan seorang pesalah muda, mahkamah hanya akan menjatuhi hukuman selepas menerima laporan sosial, pada 17 Januari tahun depan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mencuri dua telefon bimbit milik dua jemaah wanita, di Masjid Al-Azhariah dan Masjid Al-Hidayah Seksyen 18 di sini, pada jam 6.25 pagi serta 8.50 malam, 20 Disember lalu.
Kedua-dua pertuduhan dibuat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, perbuatan terkutuk seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di sini, tumpas apabila dicekup polis pada 23 Disember lalu.
Suspek bertindak mencuri ketika jemaah sedang menunaikan solat di masjid sekitar Seksyen 18 di sini, 20 Disember lalu.
Perbuatan suspek itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di masjid terbabit sebelum tular di media sosial.