SHAH ALAM - Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa ibu bapa yang merasakan tidak berupaya menjaga anak mereka supaya terus melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan.
Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Pemadam, Datuk Jamelah A Bakar berkata, ia susulan beberapa kes penderaan kanak-kanak yang berlaku di negara ini sehingga ada melibatkan nyawa.
Selain itu, beliau turut menyarankan kepada JKM supaya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memantau kanak-kanak yang ditempatkan di bawah jagaan waris sekiranya ibu bapa mereka menjalani hukuman penjara.
"Pemadam menyeru JKM supaya menguar-uarkan kepada semua yang bertanggungjawab atau yang diberi amanah untuk menjaga kanak-kanak, sekiranya mereka rasa tidak sanggup dan tidak berupaya menguruskan anak-anak ini, sila maklumkan kepada jabatan berkenaan untuk menceritakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jamelah menjelaskan, kerjasama antara JKM dan KPM itu penting supaya tindakan drastik dapat diambil segera sekiranya terdapat sebarang perubahan dikesan pada kanak-kanak.
"Perubahan emosi dan fizikal kanak-kanak boleh dikesan guru atau pegawai berkaitan dan tindakan segera boleh dilaksanakan demi keselamatan individu terlibat,” ujar beliau.
Pada Selasa, negara digemparkan dengan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh lima rakan kakaknya di sebuah rumah di Senggarang, Batu Pahat.
Mangsa telah dijaga oleh kakak kandungnya setelah ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah.
Pada 12 Disember lalu pula, seorang bapa mendera dan membunuh anak perempuannya berusia sembilan tahun, lalu menanam mayat mangsa di tepi jalan di Taman Dusun Bandar, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Jamelah berkata, kursus pendidikan keibubapaan juga perlu diperkenalkan kepada pasangan yang sudah berkahwin.
"Kempen dan kursus ke arah keharmonian rumahtangga, perkahwinan dan kekeluargaan seperti Rumahku Syurgaku, Keluarga Bahagia, Keluarga Sakinah Mawaddah Warahmah menjadi satu kewajipan kepada pasangan berkeluarga.
Tambah beliau, penggemblengan kepakaran daripada sektor kerajaan dan swasta diperlukan untuk memberi idea membendung masalah penderaan kanak-kanak, sejajar dengan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang telah diterapkan dalam pendidikan rakyat Malaysia sebelum ini.
Jelasnya, perlindungan dan penghormatan terhadap insan tersebut bukan suatu perkara yang kecil.
"Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam isu kanak- kanak adalah kesejahteraan dan kebajikan mereka.
"Kita sebagai anggota masyarakat yang celik undang-undang mesti melaksanakan tanggungjawab sosial apabila melihat dan mengetahui berlaku pelanggaran hak anak-anak ini,” katanya.