IPOH - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Khamis kecoh seketika apabila beberapa wakil rakyat pembangkang mempertikaikan perbahasan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PKR-Hulu Kinta) mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Kekecohan itu berlaku hampir 20 minit sepanjang tempoh perbahasan, bermula isu ponteng melibatkan Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang semasa pengundian RUU tersebut di Dewan Rakyat.
Muhamad Arafat yang memberi penekanan terhadap soal prinsip dan moral wakil rakyat mempersoalkan sejauh mana Abdul Hadi sebagai Presiden Pas mendukung perkara itu apabila tidak hadir dan tidak mengundi menyokong RUU Anti Lompat Parti.
"Di peringkat Pusat, RUU ini telah dibahaskan, diluluskan dan disokong parti-parti. Parti yang ada prinsip dan moral telah menyokong, pertamanya didahului Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Ketika pengundian berlaku, Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas tidak hadir, ponteng, jadi di mananya ada moral dan prinsip perjuangan sebagai pemimpin yang perlu hadir menunjuk sokongan kepada RUU ini.
"Tidak hadir tanpa alasan, kalau bagi alasan tak ada masalah," katanya.
Ucapan itu tidak dipersetujui Muhammad Zulfadli Zainal (Pas-Slim) yang menyifatkan ia sebagai satu hujah dangkal memandangkan isu tidak hadir dalam dewan juga ada melibatkan wakil rakyat blok kerajaan.
"Saya rasa banyak hujah tidak kena, lain kali bawa teks la, nampak sikit bersasar," katanya merujuk kepada ucapan perbahasan Muhamad Arafat yang disampaikan tanpa teks.
Mohd Akmal Kamarudin (Pas-Selama) yang mencelah meminta ADUN Hulu Kinta itu menyatakan pendirian mengenai kerjasama dengan BN selepas puluhan tahun dalam kempennya menghentam BN.
"Rakyat pilih YB kerana percaya YB anti BN ketika itu, tetapi tiba-tiba berlaku sepertimana sekarang, jadi siapa yang gadaikan prinsip sebenarnya.
"Pembohong dan penipu, itu khianat kepada rakyat dan pengundi," katanya.
Pertikaman lidah bertambah meruncing apabila Muhamad Arafat membangkitkan usaha Perikatan Nasional (PN) mencuri wakil rakyat kalangan BN ketika proses membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Katanya, walaupun ketika itu, RUU Anti Lompat Parti telah diluluskan di peringkat Parlimen, masih ada agenda lompat parti dilakukan yang disifatkan melibatkan tawaran jawatan dan wang ringgit.
Keadaan itu menyebabkan ahli dewan daripada blok pembangkang dan kerajaan saling bangun berbalas celahan.
Nadziruddin Mohamed Bandi (Bersatu-Changkat Jong) mengatakan ucapan itu sebagai satu tuduhan palsu dan tidak sepatutnya disampaikan dalam Dewan Negeri.
Beberapa wakil rakyat juga bangkit memberi respon antaranya Rahim Ismail (Pas-Changkat Jering), Mohd Fakhruddin Abd Aziz (Pas-Kamunting), Ishsam Shahruddin (BN-Ayer Kuning), Tiw Tiee Siang (DAP-Tronoh) dan Thulsi Manogaran DAP-Buntong).
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid cuba menenangkan situasi kecoh tersebut dengan meminta Muhamad Arafat menyudahkan perbahasan segera memandangkan masa diperuntukkan telah tamat.