100 pengantin asnaf dirai pada Karnival MAIWP 2023

Iklan
Mohd Daud (empat dari kiri) dalam majlis Pra-Pelancaran Karnival MAIWP di Hotel Ideas pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Seramai 100 pengantin asnaf akan diraikan menerusi program Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka pada 29 Januari depan.

Program itu diadakan sempena Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 28 dan 29 Januari depan di Dataran Merdeka.

Iklan
Iklan

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, selain ditaja busana pengantin, pasangan mempelai yang dirai turut diberikan hadiah wang tunai RM2,000 setiap seorang serta baucar penginapan di Hotel Ideas, Kuala Lumpur.

Menurutnya, program Walimatul Urus Perdana bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Iklan

"Walimatul Urus Perdana ini masuk kali kedua diadakan. Program pertama ketika sebelum era pandemik yang terpaksa ditangguhkan sementara.

"MAIWP berhasrat menjadikan program ini sebagai acara tahunan dan mahu jadikan perkahwinan sebagai sunnah yang mudah,” katanya dalam sidang akhbar majlis Pra-Pelancaran Karnival MAIWP di Hotel Ideas pada Rabu.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, Karnival MAIWP diadakan dengan kerjasama rakan strategik MAIWP dan Naurah Care Malaysia bertujuan meraikan pelbagai lapisan masyarakat dengan menyediakan beberapa aktiviti yang menarik.

"Selain Walimatul Urus Perdana, Karnival MAIWP yang akan berlangsung selama dua hari itu bakal diserikan dengan program MAIWP Run, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan menerusi 100 reruai yang disediakan.

"Karnival tersebut akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 28 Januari 2023,” tambah beliau.