ALOR SETAR - Golongan berpencen dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara sasaran sindiket penipuan dalam talian atau 'scammer'.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, golongan terbabit menjadi sasaran kerana dipercayai mempunyai sumber kewangan kukuh.
"Sekarang ini, kumpulan sasaran (scammer) yang kita lihat selain daripada pelajar-pelajar di peringkat IPT, golongan berpencen (juga) ada (jadi sasaran).
"Maknanya, secara keseluruhan masyarakat Malaysia tahu kita akan pencen umur 60 tahun,apabila berpencen umur 60 tahun dia akan dapat wang," katanya.
Mohd Roze berkata sedemikian selepas program Town-Hall 'Ancaman Scammer': Penipuan versus Pengetahuan' di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di Dewan Utama IPK Kedah, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, scammer menyasarkan pelajar memandangkan golongan terbabit menerima wang seperti biasiswa.
"Bila terima biasiswa, dia (scammer) tahu bila (wang masuk).Jadi, mereka sudah ada sasaran-sasaran mereka sendiri," katanya.
Mohd Roze berharap masyarakat dapat mengenal pasti atau mengetahui tanda-tanda awal penipuan dilakukan scammer tersebut.
"Salah satu cara yang paling mudah, agensi kerajaan (tidak) menggunakan talian telefon untuk berhubung, sebaliknya menggunakan talian rasmi pejabat," katanya.
Mohd Roze turut menasihati orang awam supaya tidak mendedahkan identiti dan maklumat peribadi mereka sebarangan, sekaligus membuat semakan kesahihan sesuatu perkara terlebih dahulu.
"Biasanya, mereka panik apabila menerima panggilan memaklumkan ada melakukan kesalahan.Jadi, orang awam boleh berhubung semula dengan agensi terlibat untuk membuat semakan," katanya.
Selain itu, Mohd Roze berharap masyarakat juga tidak menjadi keldai akaun dengan membenarkan nama dan butiran peribadi mereka digunakan dengan mendapat imbuhan atau wang.
Beliau berpandangan wang imbuhan diterima tidak berbaloi dengan kesalahan dilakukan kerana mudah dikesan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Sehubungan itu, Mohd Roze memaklumkan, program 'town-hall' berkenaan diadakan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat membabitkan 'scammer'.
"Insya-Allah, (program) secara berterusan memandangkan kita lihat peningkatan dari segi penipuan melalui 'scammer' dan dalam talian," katanya.