BARISAN pemain Malaysia enggan menoleh ke belakang lagi dan sudah melupakan insiden penalti kontroversi ketika kalah 0-3 kepada Vietnam dalam saingan Piala AFF 2022 di Hanoi Selasa lalu.
Pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan berkata, perkara paling utama adalah melakukan analisis perlawanan menentang Vietnam bagi mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki.
Katanya, ia penting bagi memantapkan pasukan untuk berdepan aksi terakhir Kumpulan B berdepan Singapura yang menjadi aksi hidup mati buat skuad bimbingan Kim Pan-gon itu.
"Sukar berdepan Vietnam. Kami mencipta banyak peluang, namun jika peluang itu boleh disudahkan dengan jaringan, perlawanan mungkin berbeza.
"Itulah bola sepak, kalau anda gagal menjaringkan gol ia akan jadi sukar. Vietnam sebuah pasukan yang bagus dan mereka menunjukkan kualiti. Namun saya fikir kami juga mempamerkan kualiti tersendiri.
"Kami akan buat analisis, lihat apa yang perlu perbaiki untuk berdepan Singapura dan mereka juga pasukan kuat. Namun, jika kami dapat mengatasi masalah yang ada, kami akan dapat keputusan positif di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.
Kapten Selangor FC itu optimis, peluang skuad Harimau Malaya untuk meneruskan kemaraan dalam saingan 'Piala Dunia' Asia Tenggara itu masih belum berakhir.
"Apa yang perlu dilakukan adalah terus fokus kerana memikirkan apa yang berlaku di Hanoi hanya menambah luka di hati,” katanya.
Kontroversi tercetus pada minit ke-59 apabila pengadil dari Jepun, Ryuji Sato memberikan sepakan penalti kepada Vietnam selepas Azam Azmi Murad didakwa mengasari Doan Van Hau.
Keputusan pengadil dibantah para pemain Harimau Malaya kerana Azam dilihat tidak melakukan kekasaran ke atas Van Hau di dalam kotak penalti.
Sebaliknya berlaku pergelutan kedua-dua pemain di luar padang setelah mereka terjatuh ketika berebut bola.
Kekalahan kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi menyaksikan Malaysia di tangga kedua kumpulan berkongsi enam mata dengan pendahulu, Vietnam dan Singapura di kedudukan ketiga.
Keadaan itu mencetuskan persaingan sengit antara tiga pasukan terbabit dalam usaha merebut kedudukan dua teratas untuk meraih slot ke separuh akhir.
Vietnam dan Singapura terlebih dahulu akan membuat perhitungan di Stadium Jalan Besar pada Jumaat dengan aksi itu turut mempengaruhi peluang Malaysia ke separuh akhir.