KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berkenaan isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).
Sumber berkata, siasatan berkenaan perkara itu sudah dijalankan.
"Ya, kertas siasatan mengenai pengambilalihan pengurusan Menara KL telah dibuka dan siasatan telah dijalankan," katanya pada Khamis.
Sumber bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara terbabit.
Difahamkan, kes terbabit masih di peringkat awal siasatan sebelum tindakan lanjut dilaksanakan SPRM.
Sebelum itu, isu pengambilalihan pengurusan Menara KL telah tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.
Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai 'cash cow' dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mengesahkan sudah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada kementerian pada 14 Disember lalu dan akan menerima satu taklimat menyeluruh berhubung perkara ini daripada TM pada 3 Januari ini.