'Penerbitan lucah perlu disekat, elak pengaruh negatif'

Iklan
Dari kiri: Ahmad dan Caprice

ALOR SETAR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa memantau sebarang bentuk bahan penerbitan yang mengandungi elemen lucah kerana dikhuatiri membawa unsur negatif dalam masyarakat.

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, KDN perlu memainkan peranan lebih aktif dengan menyekat bahan penerbitan yang boleh memberi pengaruh buruk dalam masyarakat, khususnya remaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya perlu, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan harus dipinda bagi memastikan kelompangan seumpama itu dapat ditangani secara komprehensif.

"Saya maklum mengenai kebimbangan orang ramai terhadap penerbitan sebuah novel yang mempunyai unsur lucah dan tidak sesuai menjadi tatapan umum khususnya penggemar novel.

Iklan

"KDN wajar mengambil langkah segera dengan mewartakan perintah larangan terhadap bahan penerbitan seumpama itu sebagaimana tertakluk dalam Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya di sini pada Khamis.

Ahmad berkata, DUPP kesal dengan sikap segelintir penerbit yang tidak sensitif dengan penerbitan bahan berunsur lucah yang hanya mementingkan keuntungan dan nilai komersial berbanding mesej negatif yang diserap dalam masyarakat.

Iklan

Menurutnya, sudah tiba masanya produksi yang bertentangan dengan norma masyarakat sama ada penerbitan bahan bercetak mahupun layar perak ditangani secara lebih tegas.

"Penerbitan novel mahupun bahan penerbitan yang mempunyai unsur lucah dan bertentangan dengan kesopanan awam adalah tertakluk bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” jelasnya lagi.

Isu mengenai novel berkenaan hangat diperkatakan di media sosial yang didakwa mengandungi babak berunsur lucah selepas ia dibangkitkan oleh pengguna Facebook yang mempersoalkan penerbitan novel tersebut.

Pempengaruh dan penyanyi rap, Caprice turut kesal apabila novel yang mengandungi unsur-unsur pedofilia dan seksual itu dijual secara terbuka di pasaran.

Caprice menerusi perkongsian video di Instagram pada Selasa, membidas novelis tersebut yang seolah-olah menggalakkan gejala sosial dalam kalangan masyarakat.

"Macam mana buku tak senonoh boleh terjual sehingga 5,000 naskhah? Selama ini kita dengar kes gangguan seksual di sekeliling kita, ia berlaku kerana kita menormalisasikan perkara sebegini.

"Kita perlu hentikan budaya begini dalam drama, novel atau filem sebab ini gila! Ia hanya memberi inspirasi kepada pedofilia di luar sana untuk bertindak jahat, malah lebih ganas.

"Apa beza promosikan drama melibatkan pornografi kanak-kanak dengan novel yang mengangkat perkara sama?” luahnya yang dipetik dalam video berkenaan.