Zii Jia sasar julang lebih tiga gelaran pada 2023

Iklan
Zii Jia. - Foto Agensi

PEMAIN perseorangan lelaki nombor dua dunia, Lee Zii Jia mengharapkan permulaan positif bagi 2023 dengan mencapai prestasi yang lebih baik pada kejohanan Terbuka Malaysia di Arena Axiata, dari 10 hingga 15 Jan ini.

Pemain berusia 24 tahun itu, turut mahu membuktikan bahawa beliau layak dan ada standard untuk menghuni ranking kedua dunia berdasarkan prestasinya, bukan sekadar mengutip mata dengan menyertai banyak kejohanan.

Iklan
Iklan

Berikutan itu, beliau meletakkan sasaran untuk menjulang sekurang-kurangnya tiga gelaran pada tahun depan, mengatasi pencapaian meraih gelaran Terbuka Thailand dan Kejohanan Asia bagi kategori individu, selain membantu skuad negara meraih kejuaraan lelaki Kejohanan Berpasukan Asia pada tahun ini.

"Sudah tentu mendapatkan ia (gelaran Terbuka Malaysia) impian untuk saya, kerana tahun ini kita lihat peminat kecewa apabila tiada wakil Malaysia pada final. Jadi kali ini saya nak pergi lebih jauh.

Iklan

Sasaran saya untuk musim ini (2023) masih sama seperti tahun ini, iaitu untuk berusaha mempamerkan prestasi yang stabil. Tak pasti jadi ke atau tidak, tapi saya akan terus cuba,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di sini hari ini.

Zii Jia tersingkir seawal pusingan kedua pada edisi 2022 dan pusingan pertama pada 2019.

Iklan

Bagi edisi 2023, Zii Jia akan membuka kempen menentang wakil Jepun Kodai Naraoka, dan berpeluang melawan pemain nombor dua negara, Ng Tze Yong pada pusingan kedua, sekiranya pemain itu mampu mengatasi cabaran Nhat Nguyen dari Ireland.

Sebagai persiapan menghadapi Terbuka Malaysia kali ini, Zii Jia juga bakal berlatih dengan pemain nombor 19 dunia, Anders Antonsen dari Denmark selama seminggu dengan Chou Tien Chen (nombor 6 dunia) dari Taiwan turut dijangka menyertai latihan itu. - Bernama