PENGERUSI Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menasihatkan semua pasukan bertanding dalam Liga M3 musim 2023 supaya menetapkan harga siling pemain bagi memastikan tiada lagi isu tunggakan gaji.
Beliau berkata, barisan pengurusan pasukan perlu bijak mengatur strategi dalam merangka jumlah gaji akan ditawarkan serta perlu berbelanja mengikut kemampuan kelab.
"Kita sangat prihatin dengan isu tidak bayar gaji dan selalu berpesan dalam perjumpaan bersama pasukan supaya jangan berbelanja di luar kemampuan. Kita juga nasihatkan untuk (pengurusan pasukan) meletakkan harga siling gaji buat pemain.
"Kita tidak mahu lagi mereka (pasukan) ambil pemain Liga Super yang sebelum ini, mungkin gaji mereka mencecah RM40,000 pun turut dibayar dengan harga sama di Liga M3.
"Jadi saya sarankan untuk letak RM10,000 untuk pemain," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan AFL bersama Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd dan Melaka Privilege Sdn Bhd di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Terdahulu, beliau mengesahkan sebanyak 14 pasukan akan mengambil bahagian dalam saingan Liga M3 musim 2023 yang sudah dinaik taraf menjadi liga separuh profesional dijangka bermula Februari depan.
Kejohanan berkenaan akan menggunakan format liga dengan dua pasukan teratas bermain dalam saingan Liga Super 2024.
Mohd Yusoff turut memaklumkan rundingan mengenai proses status kewangan bersama dua pasukan lain yang berminat menyertai Liga M3 sedang berjalan dan keputusannya hanya akan diketahui dalam minggu pertama Januari depan. - Bernama