Ubat batuk: 18 kanak-kanak di Uzbekistan maut

Iklan
Kementerian Kesihatan Uzbekistan memaklumkan sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak maut selepas mengambil ubat batuk yang dikeluarkan Marion Biotech Pvt Ltd. - Agensi

NEW DELHI - Marion Biotech iaitu syarikat farmaseutikal di India memaklumkan pihaknya telah menghentikan pengeluaran ubat batuk susulan kematian 18 kanak-kanak di Uzbekistan.

"Sampel telah dikumpulkan dan penghasilan produk itu telah dihentikan setakat ini," media tempatan memetik wakil syarikat sebagai berkata.

Iklan
Iklan

Kementerian Kesihatan Uzbekistan sebelum ini memaklumkan sekurang-kurangnya 18 kanak-kanak maut selepas mengambil ubat batuk yang dikeluarkan Marion Biotech Pvt Ltd.

Menurut laporan, ubat itu mengandungi ethylene glycol dalam jumlah yang tidak sepatutnya.

Iklan

Pihak berkuasa Uzbekistan menjelaskan kanak-kanak berkenaan diberi ubat batuk jenama Dok-1 Max.

"Kesemua kanak-kanak yang meninggal dunia dilaporkan mengambil ubat berkenaan di rumah selama dua hingga tujuh hari, dengan kekerapan tiga hingga empat kali sehari, dengan sukatan 2.5 hingga lima milliliter (ml), melebihi dos untuk kanak-kanak,” menurut kenyataan kementerian bertarikh 27 Dis.

Iklan

Ini merupakan insiden kedua melibatkan syarikat farmaseutikal India dalam tempoh kurang tiga bulan selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Oktober mengeluarkan amaran global membabitkan empat ubat pediatrik yang dihasilkan Maiden Pharmaceuticals Ltd susulan kematian 70 kanak-kanak di Gambia.

Laman sesawang Marion Biotech tidak boleh diakses pada petang Khamis. - Bernama