JOHOR BAHRU- Ibrahim International Business District (IIBD) akan terus bekerjasama dengan masyarakat yang terlibat dalam kawasan pembangunannya.
Pengerusinya, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata usaha itu penting bagi memastikan masyarakat terlibat mengetahui perkembangan pembangunan dijalankan IIBD.
"Kita masih perlu laksanakan lebih banyak pertemuan dengan ramai lagi pemegang taruh secara holistik tentang IIBD ini.
"Ini penting supaya mereka semua tahu perkembangan pembangunan yang dijalankan bukan sahaja dari segi aspek fizikal tapi juga dari segi 'blueprint', apa seterusnya.
"Kami rancang untuk buat lebih banyak aktiviti melibatkan orang tempatan sekali," katanya kepada pemberita pada program IIBD Blueprint Gazettement di Menara JLand hari ini.
Menurutnya, dalam pembangunan IIBD semua aspek diambil kira termasuk isu trafik dan pengangkutan yang menjadi permasalahan rakyat.
Malah katanya, pembangunan IIBD paling hampir yang bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi ialah laluan pejalan kaki berhawa dingin.
"IIBD ini perancangan yang besar untuk jangka panjang. Dalam 'blueprint' memang sudah ada garis panduan bagaimana model pelbagai pengangkutan ini akan dilaksanakan dalam IIBD.
"Tapi ini semua akan ambil masa dan Insya-ALLAH kita fokus senarai yang perlu disegerakan dulu. Kita ambil kira dari segi akses, bilangan parkir dan ruangan pejalan kaki berhawa dingin. Insya-ALLAH ruangan pejalan kaki berhawa dingin ini dalam tempoh 12 bulan anda semua boleh lihat hasilnya nanti," katanya.
Jejantas City-Link merupakan laluan pejalan kaki sepanjang 268 meter yang menghubungkan JB Sentral dengan Persada Annexe melalui Komtar JBCC.
Laluan ini akan dinaiktaraf dengan penghawa dingin sepenuhnya, dipasang kamera litar tertutup (cctv) serta memiliki kedai runcit sepanjang laluan.
Selain itu, IIBD turut membina jejantas bertingkat untuk menaik taraf koridor lalu lintas utama di Pusat Bandaraya bagi meningkatkan capaian di IIBD serta mengurangkan kesesakan.
IIBD yang terletak di Wilayah Ekonomi Johor Selatan dan daerah sentral Johor Bahru meliputi kawasan seluas 250 ekar dengan nilai pembangunan kasar mencecah RM20 bilion.