Mangsa banjir di Terengganu tinggal 36 orang

Iklan
Keadaan banjir di Terengganu hampir pulih apabila jumlah penduduk yang dipindahkan turun kepada 36 orang berbanding 53 orang pada jam 8 pagi Khamis.

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu hampir pulih apabila jumlah penduduk yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 36 orang berbanding 53 orang pada jam 8 pagi, Khamis.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat jam 8 malam, sebanyak lapan keluarga di Kampung La, Hulu Besut masih berlindung di PPS.

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua mangsa yang terjejas itu ditempatkan di Masjid Kampung La iaitu PPS terakhir masih beroperasi selepas ia diaktifkan sejurus banjir berlaku pada minggu lalu.

"Keadaan cuaca sekarang cerah dan maklumat terbaharu berkaitan banjir akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sinar Harian difahamkan, penduduk yang masih berlindung di PPS merupakan mangsa yang kehilangan rumah atau kediaman rosak teruk akibat dibadai arus deras banjir.

Bencana banjir yang melanda negeri ini pada minggu lalu menyebabkan lebih 40,000 penduduk terjejas di lapan daerah dan mereka dipindahkan ke PPS.

Iklan

Bagaimanapun, penduduk sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat susulan cuaca cerah.

Semua PPS yang dibuka di Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Dungun, Marang dan Kemaman telah ditutup sepenuhnya kecuali sebuah PPS di Besut.