PONTIAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok keretek dianggarkan berjumlah RM456,000 dari Indonesia di perairan Pontian, awal pagi Khamis.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam berkata, kira-kira jam 1.30 pagi, bot ronda Maritim Malaysia yang melakukan rondaan Op Jaksa dan Op Sapu Khas telah mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan.
"Kelihatan kelibat beberapa individu dalam bot fiber tanpa nombor pendaftaran di pesisir pantai Teluk Kerang, Pontian.
"Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, kesemua individu dipercayai empat orang penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot fiber di pantai tersebut," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, sebanyak 40 kotak rokok keretek ditemukan di dalam bot fiber di tepi pantai Teluk Kerang dan di dalam sebuah van putih yang ditinggalkan di sekitar pantai.
"Kesemua rokok keretek disyaki diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini.
"Bot fiber berserta sebuah enjin, van dan kesemua kotak rokok disita sebelum dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor Sungai Pulai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967," katanya.