SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan untuk menangguhkan kemasukkan pelancong dari China ke negara ini.
Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, penangguhan itu perlu dilaksanakan ekoran kes harian Covid-19 di negara tersebut terus meningkat, sekali gus mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.
Iklan
Iklan
"Peningkatan ketara itu boleh berpotensi mewujudkan varian baharu, ini menjadi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya kepada pemain industri pelancongan.
"Trauma yang dihadapi masih belum selesai, banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dan mengakibatkan kerugian berbillion ringgit dalam tempoh dua tahun lalu. Kami sebagai pemain industri amat terkesan dan masih dalam keadaan pemulihan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu Mohd Khalid turut menggesa kerajaan menangguhkan kemasukkan rakyat China sehingga kes harian di negara berkenaan menurun.
"Banyak negara luar telah memperketatkan kemasukkan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus Covid-19 ke negara mereka.
"Bagi pemain industri pelancongan dalam negara, mereka perlu mengalihkan perniagaan dengan melihat pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada pengembara China buat masa ini,” ujarnya.