13 pengamal media terjejas banjir terima sumbangan KAWAT

Iklan
Mohd Ishak (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada ahli KAWAT yang terjejas banjir.

KUALA TERENGGANU – Seramai 13 petugas media yang terjejas banjir selepas kediaman mereka ditenggelami air menerima bantuan dan sumbangan dari Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT).

Pemangku Presiden KAWAT, Mohd Ishak Abdillah Ngah berkata, bantuan wang tunai RM450 seorang itu sebagai tanda keprihatinan kelab bagi meringankan beban ditanggung mangsa yang mengalami kerugian besar akibat bencana tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain sumber kewangan KAWAT, sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan tabung derma kilat yang dilancarkan pada Sabtu lalu iaitu salah satu inisiatif bagi membantu pengamal media terjejas.

"Tabung ini mendapat sambutan bukan saja dari ahli KAWAT malah kelab media negeri lain turut menyumbang antaranya Kelab Media Johor (KMJ), Kelab Media Putrajaya, Kelab Media Kedah (KMEK) dan Kelab Media Kuala Lumpur & Selangor (KamiKLS).

Iklan

"Selain tunai, pengamal media terjejas juga menerima sumbangan berupa barang keperluan dari Kelab Aktivis Media Inspirasi (KAMI).

"Kami berterima kasih dan hargai sumbangan ini,” katanya selepas penyerahan sumbangan yang turut dihadiri Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun di Primula Beach Hotel, di sini pada Khamis.

Iklan
Sebahagian ahli KAWAT yang terjejas banjir hadir menerima sumbangan dalam majlis yang diadakan di Prima Beach Hotel pada Khamis.

Sementara itu, kakitangan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Rozita Abdullah, 35, yang tinggal di taman perumahan Batu Hampar, Manir meluahkan rasa terharu dan syukur atas sumbangan KAWAT kepada ahlinya.

Menurut Rozita, ini kali pertama rumahnya ditenggelami air dan parasnya mencecah 0.3 meter sekali gus menyebabkan banyak barang khususnya perabot rosak serta terpaksa dibuang.

"Sebelum ini saya membuat liputan banjir tapi kali ini saya sendiri jadi mangsa. Memang sedih tapi saya anggap ini sebagai ujian ALLAH SWT dan Dia akan ganti dengan rezeki lain selepas ini,” katanya.

Norma Mohd Noor, 54, yang bertugas di Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu pula pasrah dan redha apabila dua rumahnya yang terletak di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak dan Kampung Tanjung Bunut, Kuala Terengganu ditenggelami banjir.

Jelas beliau, bencana itu menyebabkan dia kerugian lebih RM5,000 akibat kerosakan barang selain terpaksa menumpang sementara di rumah abangnya di Kampung Tanjung Bunut.

"Namun saya bersikap positif, kita fikir kita susah tapi ada orang lain yang lagi susah apabila hilang tempat tinggal akibat dihanyutkan arus deras banjir,” katanya yang turut berterima kasih dengan sumbangan KAWAT dan pelbagai agensi lain termasuk JaPen.