Janji Azeem seimbang prestasi sukan, akademik

Iklan
Muhammad Azeem menerima dana pendidikan berjumlah RM600,000 daripada kerajaan negeri bagi membiayai pengajiannya di Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat.

JAGUH pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi optimis mampu mengimbangi prestasi cemerlang dalam sukan dan akademik susulan peluangnya melanjutkan perlajaran ke Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat.

Pelari berusia 18 tahun itu berkata, pengurusan universiti dan jurulatih, masing-masing telah memberi komitmen tinggi dengan mengatur jadual agar tidak terlalu sibuk dan padat.

Iklan
Iklan

"Keutamaan saya adalah pelajaran. Jurulatih dan ibu bapa saya juga sering ingatkan bahawa saya ke sana bukan sahaja untuk bersukan, malah untuk dapatkan ijazah.

"Pihak universiti sangat fleksibel dengan jadual pelajaran, jadi mereka dah aturkan bersama jadual latihan saya agar tidak terlalu berat untuk diterima.

Iklan

"Insya-ALLAH, tiada masalah untuk saya sesuaikan diri dengan suasana itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Jumaat.

Muhammad Azeem yang memperoleh keputusan 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima dana pendidikan berjumlah RM600,000 daripada kerajaan negeri bagi membiayai pengajian universitinya.

Iklan

Anak kelahiran Teluk Intan itu terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang menyokong perkembangan kariernya dalam sukan dan akademik.

"Sebelum ini saya tiada terima pun daripada orang (pihak) lain. Jadi apabila kerajaan negeri umumkan (dana khas pendidikan), saya sangat terkejut, tidak sangka. Jadi saya sangat bersyukur atas bantuan diberikan ini," katanya.

Muhammad Azeem memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter dengan mencatatkan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia Ogos lepas.

Sasarannya kini untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary dan Sukan Olimpik Paris 2024.