KUALA LUMPUR - Tempoh penutupan penuh lorong secara berkala di akses keluar Bandar Sri Damansara ke Jalan Kuala Selangor bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) akan dilanjutkan dari 18 April hingga 17 Oktober.
Menurut MMC-Gamuda dalam kenyataan hari ini, penutupan lorong sejauh 30 meter yang bermula dari 10 malam sehingga 6 pagi dilakukan bagi kerja-kerja pembinaan jambatan dan kerja berkaitan MRT.
"Pemandu dari Bandar Sri Damansara menghala Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh) akan dilencongkan ke kanan bagi meneruskan perjalanan di Jalan Kuala Selangor (arah Kepong).
"Pemandu akan membuat pusingan 'U' di persimpangan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)/ Lebuhraya Duta-Ulu Kelang Fasa 2 (DUKE 2) sebelum kembali untuk ke Jalan Kuala Selangor (arah Sungai Buloh," menurut kenyataan itu.
Selain itu, penutupan jalan penuh secara berkala di Jalan Ipoh dari Jalan Batu Kentonmen ke Jalan Khalsa (arah Kuala Lumpur) dan dari Kuil Sri Muniswarar ke Jalan Cenderuh (arah Kepong) akan dilanjutkan dari 18 April sehingga 13 Julai.
"Penutupan jalan secara berkala ini adalah untuk kerja-kerja pemasangan segmen berbentuk T dan pemandu dari arah Jalan Ipoh (arah Kuala Lumpur) akan dilencongkan ke Jalan Ipoh (arah Kepong) untuk menggunakan aliran kontra.
Semasa penutupan jalan arah Kuala Lumpur dilaksanakan, pemandu dari Jalan Ipoh (arah Kuala Lumpur) akan dilencongkan ke Jalan Ipoh (arah Kepong) untuk menggunakan aliran kontra," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, penutupan jalan secara berperingkat di Lebuh Pintasan Dengkil FT29 akan dilanjutkan dari 18 April hingga 30 April untuk kerja-kerja pelancaran kekotak segmen untuk jajaran MRT.
Peringkat 1: Semasa penutupan jalan sepenuhnya di Persimpangan Putrajaya Sentral, aliran trafik menghala ke Stesen Putrajaya Sentral akan dilencongkan ke lorong tengah. Pengguna jalan raya yang ingin menuju ke Putrajaya Sentral boleh membuat pusingan U di persimpangan Skypark, Persiaran APEC, Cyberjaya.
Penutupan jalan sepenuhnya menghala ke Puchong/Kajang di Persimpangan Putrajaya Sentral dari Stesen Putrajaya Sentral, aliran trafik akan dilencongkan ke susur keluar ke Cyberjaya/Dengkil.
Peringkat 2: Semasa penutupan jalan sepenuhnya di Persimpangan Putrajaya Sentral, Lebuh Pintasan Dengkil FTY29 menghala ke Puchong/Kajang, aliran trafik akan dilencongkan ke laluan kontra.
Peringkat 3: Penutupan jalan sepenuhnya di Persimpangan Putrajaya Sentral, Lebuh Pintasan Dengkil FT29 menghala ke Cyberjaya/Dengkil, aliran trafik akan dilencongkan ke laluan kontra.
Penutupan jalan ini akan dilaksanakan secara berperinglatr dan lencongan dan laluan kontra boleh digunaan oleh pengguna jalan raya pada satu-satu masa, menurut kenyataan itu. - Bernama