PENYERANG sensasi skuad hoki kebangsaan, Faizal Saari dituntut supaya lebih menyerlah dalam saingan Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari depan.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arul Selvaraj berkata, pemain berusia 31 tahun itu tidak berada pada prestasi sebenar pada tempoh agak lama dan ia memberi gambaran tidak baik terhadap reputasi pemain berasal dari Terengganu itu.
Beliau berkata, Faizal yang tidak beraksi bersama Speedy Tigers pada saingan Piala Sultan Azlan Shah kerana menyertai Liga Belanda ZSV Schaerweijde di Hoofdklasse, tidak beraksi seperti diharapkan pada aksi Piala Negara-Negara dari 28 November hingga 4 Disember di Afrika Selatan.
"Faizal seorang pemain yang bagus, satu lagi permata berharga tapi dia perlu beraksi untuk pasukan seperti yang pernah dilakukannya satu ketika dulu. Saya rasa sudah tiba masanya dia menggalas tanggungjawab dan membawa Malaysia ke tahap lebih baik.
"Saya akan berbincang dengannya dan dia dipilih bukan untuk dirinya semata tapi membawa bersama pemain lain. Dia perlu tunjukkan kepada pemain muda bahawa dia boleh memimpin pasukan, bermain dalam tekanan dan intensiti tinggi, barulah dia akan terus (berada) bersama kami,” katanya kepada pemberita semalam.
Faizal yang membuat 266 penampilan bersama Speedy Tigers, digugurkan daripada pasukan kebangsaan di bawah Roelant Oltmans pada 2020, sebelum kembali dipanggil menyertai skuad bimbingan Arul Selvaraj setelah mempamerkan prestasi memberangsangkan dengan menjaringkan 14 gol buat Terengganu dalam Piala Tun Abdul Razak pada Sept 2020.
Arul Selvaraj pada masa sama mengakui sikap dan perwatakan Faizal telah banyak berubah sekembalinya daripada Liga Belanda itu.
"Kami masih mencari tahu apa yang menjadi penghalangnya...Dia ada potensi untuk menyerlah, saya tunjuk kepadanya beberapa video. Dia sangat pantas cuma kadang kala prestasi itu tidak muncul ketika atas padang,” katanya.
Skuad hoki negara akan berlepas ke Rourkela melalui Bhubaneswar pada 6 Januari ini menjelang aksi pemanas badan berdepan Sepanyol pada 11 Januari.
Malaysia yang berada di ranking ke-11 dunia, akan memulakan kempen dalam Kumpulan C berdepan juara tiga kali yang juga nombor tiga dunia Belanda pada 14 Januari, diikuti Chile pada 16 Januari sebelum kembali ke Bhubaneswar berdepan kesembilan dunia New Zealand pada 19 Januari.
Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan akan layak ke suku akhir manakala di tempat kedua dan ketiga akan bersaing dengan pasukan Kumpulan D (England, India, Sepanyol, Wales) dalam pusingan kalah mati dalam memburu slot ke suku akhir. - Bernama