Pasukan petugas diwujudkan selesai projek perumahan sakit - KPKT

Iklan
Nga Kor Ming

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewujudkan satu pasukan petugas bagi menyelesaikan 381 projek perumahan swasta yang dikategorikan sebagai ‘sakit’ untuk melindungi hak dan kepentingan pembeli rumah.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, KPKT juga akan melancarkan lebih banyak rumah mampu milik berkualiti tinggi supaya rakyat dapat memiliki penginapan yang selesa dan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.

Iklan
Iklan

"Pembangunan perumahan merupakan salah satu sektor yang penting dalam menjana ekonomi negara di mana hampir 200 industri terlibat.

"Justeru, KPKT berharap industri perumahan akan terus berkembang maju pada tahun 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurut statistik, kata beliau, bagi merealisasikan hasrat rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri, KPKT akan membina sejumlah 83,728 rumah di bawah Rancangan Malaysia Ke- 12.

"Bergerak ke hadapan, khususnya dalam pembinaan dan perancangan bandar, KPKT akan memberi fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SGD) yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujarnya.

Iklan

Beliau turut berharap pihak swasta dapat bekerjasama secara aktif dengan kerajaan untuk membina lebih banyak ruang hijau dan menggunakan gaya reka bentuk yang mesra alam dalam pembinaan.

Jelasnya, ia supaya dapat mewujudkan lebih banyak perumahan yang berdaya huni dan berkonsep hijau.

Tambah Kor Ming, kerajaan turut menyokong inisiatif untuk membantu lebih ramai golongan muda memiliki rumah pertama melalui insentif pengecualian duti setem 100 peratus bagi rumah berharga RM500,000 dan ke bawah.

Sementara bagi rumah berharga RM500,001 hingga ke RM1 juta katanya, akan menikmati pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus.

"Memandangkan situasi politik negara kita kembali stabil selepas Pilihan Raya Umum ke- 15, pelabur-pelabur asing kembali mempunyai keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan, saya optimistik terhadap pasaran industri perumahan negara pada tahun depan.

"Saya berharap pengusaha-pengusaha dapat meningkatkan pelaburan domestik dan kerajaan akan bekerjasama secara aktif dengan melancarkan dasar pro-perniagaan dan pro-rakyat.

Bagi memantapkan lagi pembinaan perumahan awam di negara, Kor Ming telah menjemput Lembaga Pembangunan Perumahan Singapura (HDB) untuk berkongsi kepakaran dan berkongsi pengalaman berhubung isu perumahan.

"Saya percaya ini akan membantu meningkatkan tahap perancangan bandar di Malaysia dan bukan sahaja dapat membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri tetapi juga mewujudkan rumah tangga bahagia dan sejahtera melalui kaedah yang inovatif,” ujarnya.