Zambry adakan kunjungan hormat terhadap Jokowi

Iklan
Zambry (kanan) mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Indonesia Retno Marsudi ketika lawatan ke Indonesia hari ini. - Foto Bernama

JAKARTA - Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo sempena lawatan rasmi di sini pada Jumaat.

Dalam pertemuan di Istana Merdeka selama 30 minit, beliau diiringi Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia, Adlan Mohd Shaffieq dan turut hadir Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Iklan
Iklan

Zambry dan Joko Widodo atau dikenali mesra sebagai Jokowi menyentuh pelbagai isu dua hala termasuk pembatasan sempadan, perdagangan, peniagaan, kelapa sawit, tenaga kerja Indonesia (TKI), situasi di Myanmar dan ASEAN.

Bercakap kepada pemberita di Kedutaan Besar Malaysia selepas kunjungan hormat, Zambry berkata, beliau memberi jaminan usaha mengemaskini sistem pengambilan dan pelindungan TKI sedang diambil termasuk cadangan pengendalian sistem oleh satu kementerian.

Iklan

"Saya perlu bawa perkara ini terlebih dahulu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kabinet dalam masa terdekat," katanya, sambil menambah isu itu perlu diselesaikan segera kerana sering menjadi hambatan hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, dua perjanjian masing-masing mengenai sempadan dan perdagangan sedang diperhalusi kementerian untuk dimeterai dalam masa terdekat demi mengalakkan sektor ekonomi di kawasan perbatasan.

Iklan

Mengenai kelapa sawit, Zambry berkata, kerjasama dua-dua negara akan dipertingkat untuk mengatasi peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU) termasuk melalui platfom ASEAN-EU agar pengeluaran komoditi itu tidak terjejas.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa ASEAN di bawah kepimpinan Indonesia dan Jokowi pada 2023 akan melakar kemajuan dalam membina komuniti yang lebih aman, terangkum dan lestari.

Sepanjang lawatan, Zambry juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Nahdatul Ulama Yahya Cholil Staquf dan Ketua Dewan Pengurusan Habibie Centre, Profesor Dr Dewi Fortuna Anwar, diaspora Malaysia, media dan komuniti perniagaan tempatan. - Bernama