CABARAN Kelantan United FC dalam kempen Piala FA terkandas di pusingan ketiga apabila tewas 1-3 kepada FC Terengganu FC (TFC) pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.
Tiga gol dalam babak kedua membolehkan TFC yang dibimbing penolong jurulatih, Mohd Nik mencipta kemenangan bergaya meskipun ketinggalan pada awal permainan untuk mengesahkan slot ke suku akhir.
TFC yang tewas dalam dua aksi liga bermula agresif apabila melancarkan serangan pantas seawal minit kedua namun tampanan kapten, Andrew Lee Tuck hasil hantaran rakannya sempat dikeluarkan bek kanan tuan rumah, Shamsul Kamal Mohamad.
Ancaman berbahaya pelawat hadir sekali lagi seminit selepas itu tetapi tandukan pertahanan import, Igor Zonjic pula gagal menepati sasaran.
Kesilapan pemain tengah TFC, Muhammad Khairu Azrin Razali yang gagal mengawal kemas bola hantaran pendek Zonjic mengundang padah apabila memberikan kelebihan buat tuan rumah mendahului 1-0, pada minit kesembilan.
Pemain tengah Kelantan United FC, Mohd Rozaimi Azwar Mat Noor memanfaatkan kesilapan lawan dengan melakukan sepakan lambung sekali gus memerangkap Mohd Suffian Ab Rahman di pintu golnya.
TFC yang tertekan dengan jaringan tersebut bangkit melancarkan serangan namun gerakan yang diilhamkan Lee Tuck tampak begitu sukar menembusi kubu akhir tuan rumah.
Tempo permainan tinggi menyaksikan TFC hampir berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-19 apabila hantaran lintang Lee Tuck memaksa Faizol Nazlin Sayuti tertampan ke gawang sendiri namun mujur bola sedikit tersasar di sebelah kanan.
Sepakan penjuru Lee Tuck pada minit ke-27 terus menuju tepat ke arah Zonjic tetapi tandukan pertahanan import Montenegro itu mudah diselamatkan penjaga gol veteran, Mohd Shahrizan Ismail.
Penyerang sensasi Kelantan United FC, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi kembali mencipta dua peluang buat pasukannya tetapi sepakan percumanya pada minit ke-34 sedikit melewati palang disusuli rembatan leret enam minit berselang diselamatkan penjaga gol lawan.
Minit-minit akhir babak pertama, TFC terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila Mohd Shahrizan menafikan percubaan tepat Sanjar Shaakhmedov untuk keputusan 1-0 kekal sebelum kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan.
Sebaik babak kedua bersambung, pelawat tidak menunggu untuk kembali mengimbangi kedudukan apabila Shaakhmedov melepaskan rembatan jarak dekat menewaskan Mohd Shahrizan, pada minit ke-50.
Penyerang import, Tchetche Kipre memastikan TFC unggul di depan apabila menyempurnakan umpanan rakannya dengan melepaskan rembatan menyaksikan bola terkena tiang sebelum menerjah jaring, empat minit kemudian.
Ia merupakan jaringan pertama buat pemain yang diberi jolokan 'Drogba Ganu' itu setelah kemarau jaringan dalam sembilan perlawanan liga musim ini.
Peluang terbaik tuan rumah untuk memadamkan defisit jaringan hadir pada minit ke-58 namun tendangan bebas Shamsul Kamal berjayan ditepis keluar Mohd Suffian.
Aksi selepas itu banyak dikuasai TFC dengan Kipre mula menunjukkan belangnya namun penyerang kelahiran Ivory Coast itu gagal menguis masuk pada minit ke-66 manakala rembatan Khairul Anwar Shahrudin terkena tiang, tiga minit selepas itu.
Lee Tuck bagaimanapun menebus kekecewaan rakannya apabila melepaskan rembatan jarak jauh yang terus menerjah jaring menjadikan kedudukan pasukan semakin selesa mendahului 3-1, pada minit ke-73.
Selesa dengan kelebihan jaringan itu, TFC dilihat mengendurkan serangan namun anak buah Zahasmi Ismail pula tampak sukar untuk merapatkan jurang dengan kedudukan 3-1 akhirnya kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.