KUALA LUMPUR - Fasa peralihan pandemik Covid-19, peralihan tampuk pemerintahan negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) serta musibah banjir di beberapa negeri antara tugas besar yang dihadapi oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember lalu yang mengorbankan 31 nyawa antara cabaran terbesar dihadapi PDRM dalam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Di sebalik tragedi dan kesedihan dalam kejadian di Batang Kali, musibah berkenaan telah menyerlahkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.
"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua petugas yang terbabit secara langsung mahupun tidak langsung dalam operasi mencari dan menyelamat secara bersepadu ini," katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2023 pada Jumaat.
Acryl Sani berkata, dalam insiden tanah runtuh itu, setiap agensi mempamerkan kematangan memainkan peranan sepertimana yang digariskan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara 20.
"Hasilnya insiden tersebut berjaya ditangani dalam tempoh masa relatifnya singkat di mana kesemua mangsa dapat ditemui," katanya.
Acryl Sani berkata, segala cabaran itu diharungi dengan penuh cekal dan komited sebagai bukti PDRM mampu mendepani apa jua cabaran yang mendatang.
"PDRM akan terus memikul mandat sebagai agensi penguat kuasa utama negara dalam menjaga keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Saya yakin PDRM mampu memenuhi ekspektasi masyarakat dan sentiasa berada pada landasan yang betul berpandukan kepada tiga fokus utama iaitu memperkasakan integriti, memantapkan penyampaian perkhidmatan serta mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.