12 individu dari Filipina cuba seludup masuk Semporna ditahan

Iklan

SEMPORNA - Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan dua lelaki Pala'u di kawasan laut Singamata hari ini selepas disyaki menyeludup masuk 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Berdasarkan maklumat Unit Risikan Marin, Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, Unit Gempur Marin dan anggota bot tempur RH46 PPM memintas sebuah bot dipercayai dari Bongao, Filipina pada jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

"Pintasan itu membawa penemuan juragan berusia 40 tahun serta pembantu juragan 20 tahun bersama 10 penumpang terdiri daripada lima lelaki, tiga wanita serta dua kanak-kanak perempuan di dalam bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pemeriksaan awal turut mendapati juragan dipercayai berasal dari Filipina dan turut ditemui bersama suspek adalah sejumlah mata wang Peso.

Iklan

"Penumpang mengakui dikenakan sejumlah bayaran kira-kira 2,500 Peso setiap seorang untuk perjalanan dari Bongao, Filipina menuju ke Semporna," katanya.

Susulan itu, katanya kes disiasat di bawah Akta Imigressen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Pindaan 2010).- Bernama

Iklan