SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji secara serius pengurusan dan operasi perdagangan kredit karbon iaitu sejenis instrumen ekonomi yang membantu mengawal pelepasan karbon dioksida dalam usaha menjaga dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, sehingga hari ini Malaysia masih belum mempunyai kaedah terbaik untuk mengukur kredit karbon bagi melaksanakan urusan jual beli dengan negara luar.
Beliau berkata, kerajaan negeri Kelantan sebelum ini pernah menyuarakan pandangan kepada kerajaan pusat agar mengkaji skim kredit karbon sebagaimana yang dilaksanakan oleh Kanada.
"Kita tidak mahu menebang sebarangan pokok kerana Kelantan (negeri yang) kaya dengan hutan. Jadi, adalah baik sekiranya dapat ditukar dengan kredit karbon.
"Tetapi hari ini sistem negara kita masih belum ada satu kaedah bagi mengukur kredit karbon untuk dijual kepada negara lain.
"Diharapkan perkara ini dapat dibincangkan dengan lebih lebar kerana kami sangat mengharapkan sekiranya kredit karbon ini menjadi kenyataan, Insya-ALLAH Kelantan akan dapat banyak input,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Di Sebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus dan disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Program yang membincangkan topik bertajuk 'Kelantan Banjir Setiap Tahun, Apa Kata Pas?' turut menampilkan Felo Kanan Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Profesor Dr Zulkifli Yusop.
Mengulas mengenai perancangan bandar span atau sponge city, Mumtaz berkata, konsep itu perlu menjadi dasar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di setiap negeri untuk memasukkan elemen banjir dalam semua reka bentuk perbandaran baharu.
"Ini bukan isu satu kementerian, sebaliknya merentasi pelbagai kementerian.
"Pendidikan dan advokasi harus diberikan bermula kepada rakyat sehinggalah kepada perancang (rumah) dan pemimpin, harus sama-sama bergerak ke arah lestari," ujar beliau.