Zamri Ketua Pengarang baharu Sinar Harian

Iklan
Zamri (kanan) akan menggantikan Rozaid mulai 1 Januari 2023.

SHAH ALAM - Kumpulan Sinar Karangkraf mengumumkan pelantikan Zamri Rambli sebagai Ketua Pengarang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023.

Zamri, 42, menggantikan Rozaid Rahman yang mengambil keputusan bersara atas faktor kesihatan selepas dua tahun mengetuai akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia itu.

Iklan
Iklan

Beliau yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang kewartawanan sebelum ini adalah Pengarang Berita Premium Sinar Harian.

Zamri yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) menyertai Kumpulan Sinar Harian pada tahun 2019.

Iklan

Beliau memulakan khidmatnya sebagai wartawan di majalah Massa pada tahun 2003, sebelum bertugas dengan akhbar Kosmo pada tahun 2004 dengan jawatan terakhir di akhbar tersebut sebagai Pengarang Berita.

Zamri kemudian menyertai Sinar Harian sebagai Timbalan Pengarang Berita pada tahun 2019, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarang Berita Premium pada tahun 2021.

Iklan

Di bawah pimpinannya, Unit Premium Sinar Harian berjaya menggondol pingat gangsa pada Hadiah Kewartawanan Malaysia 2020 dalam kategori Dokumentari Terbaik mengenai kehidupan masyarakat Orang Asli etnik Batek.

Unit beliau sekali lagi berjaya memperoleh pingat emas Hadiah Kewartawanan Malaysia 2021 juga dalam kategori Dokumentari Video Terbaik atas liputan mengenai Frontliners Covid-19 tahun ini.

Mengulas mengenai pelantikannya untuk memimpin Sinar Harian, Zamri merakamkan ucapan terima kasih di atas peluang dan kepercayaan yang diberikan pihak pengurusan syarikat kepada editor-editor muda.

"Dalam keadaan industri hari ini yang sangat mencabar, sudah tentu rintangan yang perlu didepani pemain media tidak mudah.

"Sebagai media arus perdana, Sinar Harian perlu sentiasa dinamik dan sedia berubah mendepani cabaran itu. Kunci kejayaan yang pasti tidak terletak pada seorang dua individu sahaja. Ia memerlukan kerja berpasukan baik di pihak pengurusan, editorial, pengiklanan, pemasaran dan teknologi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Penerbit Sinar Harian, Farah Hussamuddin berharap, dengan pelantikan Zamri, beliau akan meneruskan legasi kepimpinan terdahulu yang telah membawa pembaharuan dan meletakkan Sinar Harian sebagai jenama media cetak nombor satu paling dipercayai di Malaysia.

"Namun cabaran terbesar beliau ialah bagaimana perlu mengekalkan edisi cetak untuk terus relevan dan pada masa sama terus menerokai serta membangunkan platform baharu seperti digital dan media sosial,” katanya.