SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menegaskan tiada sebarang tekanan yang timbul seperti yang digembar-gembur oleh pihak tertentu.
Namun, beliau berkata, menyuburkan amalan demokrasi dalam parti itu penting untuk kesinambungan sesebuah institusi politik.
"Buat masa ini, tiada tekanan sepertimana yang digembar-gemburkan. Ia hanya mainan tangan-tangan nakal dalaman parti.
"Justeru, demokrasi (dalam) parti amat penting untuk sebuah institusi politik.
"Jadi, amat penting buat UMNO untuk terus suburkan demokrasi dalam pemilihan akan datang bagi memastikan suara akar umbi (disampaikan) dalam pemilihan barisan kepimpinan akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Tegas Armand, dengan amalan demokrasi UMNO akan terus kekal relevan buat akar umbi sekali gus memberi keyakinan pada rakyat.
"Saya yakin para perwakilan kini matang, bijak dan teguh dalam menilai (barisan kepimpinan nanti) bagi menentukan masa hadapan UMNO untuk terus kekal relevan dalam negara,” ujarnya.