DALAM keterujaan menyambut tahun baharu, wujud kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila dijangka kira-kira 300,000 pelancong dari China akan berkunjung ke Malaysia pada tahun depan.
Jangkaan itu dibuat oleh Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) susulan kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara itu berkuat kuasa 8 Januari 2023.
Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, jumlah tersebut adalah tiga kali ganda daripada kira-kira 100,000 pelancong China diterima dari Januari hingga September tahun ini yang terdiri daripada ahli perniagaan dan juga pelajar.
Meskipun ia satu perkhabaran positif yang boleh melonjakkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, namun dari sisi lain, ia sebenarnya boleh dilihat sebagai satu ancaman terhadap sistem kesihatan negara.
Ia susulan wabak itu dilaporkan kembali 'mengganas' di China.
Sebelum ini, laporan media memaklumkan wilayah perindustrian Zhejiang dilanda sejuta jangkitan baharu Covid-19 setiap hari, malah, angka itu dijangka meningkat sehingga dua kali ganda dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa kerajaan agar menangguhkan sementara kemasukan pelancong dari China sehingga kes harian Covid-19 di negara itu reda.
Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, lonjakan ketara kes Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baharu yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.
Antaranya, pengguna Twitter Zulfadzli menerusi ciapannya pada Jumaat berpendapat kerajaan perlu memastikan rakyat selesa dengan keputusan untuk membenarkan pelancong dari China masuk ke Malaysia.
Katanya, semua langkah pencegahan rentas kementerian harus dibentangkan dan disebarkan dengan medium serta penjelasan mesra audiens.
Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada peristiwa di mana negara merekodkan kes pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020 yang dikaitkan dengan kehadiran warga China memasuki negara melalui Tambak Johor.
Ekoran itu, kes jangkitan menunjukkan peningkatan ketara hingga kini hampir lima juta kes Covid-19 yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
Justeru, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat perlu dilaksanakan sebelum menerima kemasukan pelancong negara itu.
Mengenang keperitan hidup akibat wabak yang meragut puluhan ribu nyawa rakyat Malaysia, adakah kita mahu pisang berbuah dua kali?