PENGENDALI Aston Villa, Unai Emery percaya mentaliti penjaga golnya, Emiliano Martinez yang telah memenangi Piala Dunia di Qatar akan membantu Villa menamatkan baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan lebih baik.
Martinez membantu Argentina menjulang Piala Dunia di Qatar dengan aksi cemerlang menyelamatkan tendangan dalam penentuan penalti pada perlawanan akhir menentang Perancis sekali gus memastikan La Albiceleste menamatkan penantian 36 tahun mereka untuk gelaran dunia ketiga.
Bagaimanapun, kisah cemerlang Martinez di Piala Dunia turut terpalit kontroversi apabila dia mengejek bintang Perancis Kylian Mbappe sehingga mengundang kecaman banyak pihak.
Emery yang sebelum ini berjanji akan bercakap dengan Martinez mengenai sikap penjaga gol tersebut sebaliknya percaya mentaliti Martinez adalah contoh yang mesti diikuti oleh rakan-rakan di villa.
"Saya berharap dia (Martinez) akan datang dengan fokus 100 peratus memberi tumpuan kepada Aston Villa.
"Sudah tentu, dia perlu menyesuaikan diri dengan cepat sekali lagi. Setiap penyokong Aston Villa pasti berbangga dengannya.
"Kami mempunyai pemenang Piala Dunia dalam pasukan kami dan akan menjadi inspirasi rakan sepasukan di padang latihan setiap hari," katanya.
Villa ketika ini berada di kedudukan ke-12 EPL dan akan menentang Tottenham Hotspur pada Ahad.