[VIDEO] Mural 'Tukang Bot Klaut' ketengah seni warisan

Iklan
Dari kiri, Taib, Saufian, Nur Athirah, Khaidir Hakim (belakang) dan Aiman Faez di hadapan lukisan mural yang mendokumentasikan bahagian badan bot dalam bentuk diagram di Kampung Pulau Ketam, di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU - Lukisan mural diagram bot nelayan hasil karya tiga pelukis di bawah Jambatan Sultan Mahmud, dekat Kampung Pulau Ketam, di sini mengetengahkan kehalusan seni pertukangan bot untuk tatapan masyarakat khususnya generasi muda.

Pengurus Projek, Nur Athirah Lokman berkata, mural bertajuk 'Tukang Bot Klaut' atau dalam dialek Terengganu bermaksud tukang untuk bot ke laut itu dilakar di atas tiang jambatan bersaiz 3.34 meter (lebar) dan 1.7 meter (tinggi).

Iklan
Iklan
Nur Athirah

Katanya, karya seni tiga pelukis iaitu Taib Abdul Razak atau lebih dikenali dengan nama pena Taib Aur, 43, Khaidir Hakim Zaidan, 27 dan Aiman Faez Jailani, 24 itu mendokumentasikan diagram atau keseluruhan struktur binaan bot nelayan yang masih dalam pembinaan.

"Mural ini dihasilkan dengan kerjasama tukang bot bersama pengkarya seni itu akan dipersembahkan sempena Program Jerayawara Seni anjuran Balai Seni Negara yang akan berlangsung di sini pada Disember 2022 hingga Jun 2023.

Iklan

"Lukisan mural ini mengetengahkan nama bagi setiap struktur yang ada pada badan bot menggunakan dialek Terengganu dan bahasa Inggeris," katanya yang turut dibantu Saufian Othman, 42.

Sementara itu, Ketua Pelukis Pasukan Aur, Taib berkata, lukisan mural ini mengambil masa kira-kira sebulan untuk dihasilkan.

Iklan
Taib

"Projek ini dimulakan pada November lalu di mana pada peringkat permulaan kita melakukan kajian dengan memperincikan ciri-ciri pembuatan bot nelayan bersama mereka yang berkecimpung dalam bidang pembuatan bot.

"Proses ini memakan masa kerana kita memerlukan fakta yang benar-benar tepat sebelum proses lakaran mural dilakukan. Proses membuat lakaran dan pembangunan idea dilakukan sebelum kerja-kerja melukis mural pada dinding jambatan," katanya.

Dalam pada itu, Taib memberitahu, penglibatan dalam lukisan itu memberi peluang kepada golongan pelukis untuk mengembangkan lagi bakat supaya impak terhadap lukisan mural dapat dilihat dari pelbagai sudut.

"Dengan adanya karya begini, seni warisan dan budaya tidak hanya berkisar di dalam buku dan cerita mulut sahaja kerana ia boleh juga didokumentasikan dalam bentuk lukisan," ujarnya

Sementara itu, Aiman Faez berkata, mural struktur bot yang dihasilkan berbeza dengan karya sebelum ini kerana selain menceriakan kawasan, ia turut menyampaikan maklumat mengenai pembuatan bot kepada masyarakat.

Aiman Faez

"Mural ini mendokumentasikan bahagian badan bot dalam bentuk diagram di mana ia secara langsung menjadi medium untuk menyebarkan pengetahuan kepada masyarakat.

"Memandangkan Pasukan Aur juga cenderung kepada seni lukis bertemakan bot nelayan, jadi saya secara tidak langsung banyak belajar mengenai kaedah pembuatan bot," katanya.