[VIDEO] Derita tibi, Nur Erma terpaksa lupa hasrat berumah tangga

Iklan
Nor Atikah menenangkan Nur Erma (Kanan: Nur Erma ketika sihat)

SEREMBAN - Kehidupan seorang gadis berubah sekelip mata selepas diserang penyakit Tuberkulosis atau tibi sehingga meragut keupayaan diri dan penglihatannya tahun lalu.

Lebih memilukan apabila Nur Erma Rusman, 25, yang kini hanya terlantar terpaksa melupakan hasratnya untuk mendirikan rumah tangga Oktober lalu dan kini bergantung sepenuhnya dengan ibu Nor Atikah Alilis, 45.

Iklan
Iklan

Menurut Nor Atikah, anak keduanya itu mula dikesan mengalami penyakit itu sejak November tahun lalu selepas sering mengalami demam, muntah dan sakit kepala.

"Kemuncaknya pada 6 November tahun lalu apabila Nur Erma meracau tiba-tiba dan apabila saya membawanya ke hospital, doktor beritahu kemungkinan jangkitan kuman telah naik ke otak.

Iklan

"Dia terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan selepas seminggu doktor beritahu Nur Erma menghidap tibi," katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Sri Mambau di sini pada Jumaat.

Nor Atikah menenangkan Nur Erma

Menerima perkhabaran itu kata Nor Atikah, sangat mengejutkan mereka sekeluarga kerana selama ini Nur Erma tidak pernah berdepan masalah kesihatan yang serius.

Iklan

Lebih membuatkan hatinya luluh apabila doktor memaklumkan kuman tibi tersebut telah merebak sehingga ke otak, paru-paru dan tulang belakang.

"Selama 22 hari Nur Erma ditidurkan di ICU sebelum ditahan di wad biasa selama sebulan. Disebabkan terlalu lama terbaring di katil, punggungnya mengalami luka 'bedsore' sedalam kira-kira lapan inci yang perlu dicuci setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman.

"Mata Nur Erma pun dah tak nampak sepenuhnya apabila kuman itu menyerang bahagian saraf matanya pada Mei lalu," katanya.

Keadaan kesihatan Nur Erma yang semakin merosot dan memerlukan perhatian sepenuhnya menyebabkan Nur Atikah yang merupakan ibu tunggal terpaksa memilih untuk berhenti kerja sebagai pembantu kedai runcit sejak Ogos lalu.

Ujarnya, dia kini berdepan masalah kewangan dan sewa sudah rumah sudah tertunggak selama tiga bulan sebanyak RM1,740 manakala bil elektrik hampir RM300.

"Yang memerlukan kos tinggi ialah peralatan membersihkan luka bedsore Nur Erma iaitu dianggarkan RM150 seminggu. Untuk ubat dan rawatan lain bergantung kepada klinik dan hospital kerajaan.

"Saya bersyukur kerana jiran, rakan, pertubuhan bukan kerajaan(NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) datang membantu.

"Pihak Baitulmal pun sejak April lalu turut membantu keperluan Nur Erma seperti lampin pakai buang dan susu," katanya.

Sementara itu kata Nor Atikah, sebelum ini Erma bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat agensi pelancongan dan banyak membantu keluarga.

Namun katanya, siapa sangka secara tiba-tiba hidup Nur Erma berubah sekelip mata selepas diuji masalah kesihatan.

"Ogos lalu doktor beritahu tahap kesembuhan Nur Erma hanya 20 peratus.

"Saya reda dengan ujian ini. Tapi saya tidak akan putus berdoa mohon keajaiban agar anak saya kembali pulih," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Nor Atikah di talian 018-3746774 atau salurkan ke akaun Bank Islam 05012020533878 (Nor Atikah).