SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyambut kedatangan tahun baharu 2023 dengan menganjurkan program kerohanian di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada Sabtu.
Program Kuliah Magrib Khas dijadualkan bermula jam 7 malam itu dijangka bakal dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beserta barisan pimpinan negeri dan ketua-ketua jabatan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada program kerajaan negeri dengan jangkaan kehadiran seramai 300 jemaah.
Menurutnya, program tersebut kali pertama diadakan secara rasmi selepas kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengadakan sambutan tahun baharu pada kali ini sebagai menghormati mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, 16 Disember lalu.
"Program sama turut diadakan di peringkat daerah mengikut kaedah masing-masing. Penceramah lazimnya akan bertazkirah tentang perkara yang berkaitan dengan perjalanan masa dan langkah yang perlu diambil umat Islam untuk menjadi lebih baik," katanya pada Sabtu.
Katanya, kerajaan negeri mengalu-alukan program sama dibuat dengan lebih tersusun dan berusaha meningkatkan kehadiran jemaah.
Sempena kehadiran tahun baharu, beliau berharap Selangor terus makmur dan rakyatnya bersama-sama menjaga perpaduan serta mengelak persengketaan.
"Kedatangan tahun baharu bukan sahaja diukur dengan kemeriahan sambutan tetapi sejauh mana rakyat negeri Selangor boleh hidup rukun damai, tidak bersengketa dan sentiasa bersangka baik.
"Jauhkan fitnah dan tuduhan liar yang akan menjadikan kesatuan umat terpecah dan mempengaruhi kerukunan hidup masyarakat berbilang bangsa.
"Bersama kita menjadikan Selangor lebih rukun dan damai, maju dan aman makmur pada tahun 2023," katanya.
Amirudin pada 24 Disember lalu memaklumkan kerajaan negeri tidak akan menganjurkan sambutan tahun baharu peringkat negeri membabitkan peruntukan atau dana kerajaan negeri.
Keputusan tersebut selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membatalkan sambutan ambang Tahun Baru 2023 yang dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.
Pembatalan itu susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa ini.